Isnin, 14 Mei 2018

RAKYAT TOLAK BN 2.0

Wartawan Watan-Online


 


Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) ENGAGE, Thomas Fann menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak permohonan wakil rakyat dan ahli Barisan Nasional (BN) yang berhasrat untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, rakyat mahukan kerajaan yang bersih dan mengutamakan kepentingan rakyat, bukan kerajaan dengan ahli politik yang hanya mahukan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Perkembangan mengenai senario politik baru-baru ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat yang memberikan mandat kepada PH untuk memerintah kerana terdapat parti-parti komponen BN seperti UPKO, LDP, PBRS dan PBS ingin menyertai kerajaan PH.

“Rakyat memilih demi demokrasi, persaingan sihat antara kaum, semak dan imbang sama ada di peringkat Parlimen atau negeri, bukan gabungan besar yang dipenuhi ahli politik opportunis yang hanya mahukan kuasa.

“Mereka yang meninggalkan BN boleh menjadi pembangkang yang setia dan menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada proses membuat undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut berkata ia merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat untuk melihat perubahan sekiranya ahli BN diterima ke dalam PH.

“Kami mahukan kerajaan baru, bukan penjenamaan semula Barisan Nasional yang dipenuhi individu sama yang kami tolak dalam Pilihan Raya Umum ke 14. Kami tidak mahukan Barisan Nasional 2.0.

“Kami juga tidak mahu budaya rasuah dan kronisme BN melemahkan semangat perjuangan dan pengorbanan Pakatan Harapan,” katanya.

Perkara yang sama turut diutarakan oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir yang melihat fenomena ini sebagai sesuatu yang perli dipandang serius.

Menurutnya, parti komponen dalam PH wajar memberikan tempoh bertenang kepada anggota BN yang mahu menyertai kerajaan baru.

Menurutnya, tindakan tersebut akan membantu memberi ruang kepada penguatkuasaan undang-undang untuk berjalan dengan baik.

“Kita memandang serius fenomena ahli-ahli komponen Barisan Nasional (BN) yang berbondong-bondong mahu keluar parti masing-masing untuk masuk ke dalam parti-parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Selain memperlihatkan pertambahan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan ketika ini, fenomena ini juga pada hemat kami perlu diurus dengan baik dan berhemat.

“Memandangkan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk mengangkat rule of law dan keutamaan integriti dalam pembentukan kabinet, ada baiknya di peringkat parti-parti dalam HARAPAN menetapkan tempoh bertenang agar proses penguatkuasaan undang-undang dapat berjalan dengan baik dan teratur,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menurutnya, beliau turut menyerahkan kebijaksanaan kepada Majlis Presiden HARAPAN untuk menetapkan prosedur khusus kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) BN yang ingin menyokong PH.

“Kami menyerahkan sepenuh kebijaksanaan kepada Majlis Presiden HARAPAN untuk menetapkan prosedur khusus agar komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memerangi kleptokrasi dan rasuah tidak terjejas,” katanya.


Tiada ulasan: