Isnin, 14 Mei 2018

Rakyat pilih PH kerana tak suka dasar dibawa BN di bawah Najib

ainulillia


Pemimpin bentuk kerajaan negeri mahu mangsakan rakyat di kawasan BN


PEDANG ingin mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor bahawa mereka dipilih bukan kerana rakyat sukakan mereka, tetapi kerana rakyat tidak suka kepada dasar dan polisi diamalkan Barisan Nasional (BN) sejak Datuk Seri Najib Razak memerintah.

BN kalah teruk di saluran mengundi anak muda. Dan anak muda sebenarnya memilih PH kerana Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau menjadi idola anak muda, beliau adalah Perdana Menteri yang telah membuktikan mampu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Malah, selepas PRU14, kedengaran suara anak muda yang kembali bersemangat untuk menjalankan tugas, hanya gara-gara disebabkan Dr Mahathir.

Anara komen anak muda dalam Facebook yang menarik perhatian Pedang ialah:

“Rasa mcm baru lps merdeka.. Dan plg pentg hari2 bgn pg bersemangat nk g kje sbb Tun.. Kalo malas nk bgn.. Sentiasa ingt Tun.. Jujur Tun sbg motivasi utk sy g kje dgn semangat yg baru wpun majikn msh sama penyokong bn hahaha.”

Lalu, Pedang peringatkan PH, terutama di Johor supaya tidak sombong dengan rakyat. Walaupun, BN menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, tetapi ada pengundi di kawasan itu yang memangkah calon PH.

Dalam tulisan Pedang sebelum ini, Pedang memberikan singkatan Pakatan Harapan sebagai Harapan, tapi Pedang buat keputusan kembali menggunakan singkatan PH.

Pedang guna PAN, bukan Amanah untuk singkatan kepada Parti Amanah Negara, kerana belum pasti mereka amanah. Pedang guna Bersatu untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia, tetapi kini Pedang tukar kepada PPBM, kerana mereka, termasuk ahli dan pemimpin, terutama di peringkat negeri, belum benar-benar bersatu.

Begitu juga PH untuk Pakatan Harapan, belum pasti ianya menjelma dan memenuhi ‘harapan’ rakyat.

Dalam istilah sains dan kimia, pH adalah satu ukuran kealkalian bahan larut air (pH bermaksud ‘potensi hidrogen’). Nilai pH ialah nombor dari 1 hingga 14, dengan 7 sebagai titik tengah (neutral). Nilai di bawah 7 menunjukkan keasidan yang meningkat apabila bilangannya menurun, iaitu 1 yang paling berasid.

Kenapa Pedang berkata demikian?

Kerajaan PH Johor hingga ke hari ini hanya ditadbir oleh seorang sahaja – Datuk Osman Sapian, sebagai Menteri Besar – sedang ‘diperhatikan’ berikutan kenyataan pertamanya di sebuah hotel mewah di Johor Bahru, kelmarin.

Mengikut kedudukan terkini kerusi dalam kerajaan PH Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai 12 kerusi, selepas tiga Adun UMNO menyertainya kelmarin; DAP (14); PAN (sembilan); dan PKR (lima).

BN kini mempunyai 16 kerusi selepas tiga Adun UMNO melompat menyertai Bersatu, manakala PAS satu kerusi.

Malangnya – sudah ditegur oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin – kenyataan pertama Menteri Besar Johor ke-16 itu, menjurus kepada hendak membalas dendam kepada BN dan yang menjadi mangsanya ialah Bangsa Johor.

Ini boleh dilihat ketika sidang media pertama sebagai Menteri Besar Johor. Pada sidang media itu, Osman yang diapit Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan dan Ketua Bahagian PPBM Bahagian Parit Sulong, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, saling berbalas jawapan yang menunjukkan ‘dendam’ mereka.

Bukan sahaja timbul persoalan di kalangan pengamal media massa apabila sidang media itu tidak dihadiri wakil dua lagi parti komponen PH – PKR dan DAP – tetapi, isu berbangkit adalah peruntukan pembangunan ke kawasan yang dimenangi BN.

Dalam soal jawab dengan media berhubung pengiktirafan kepada ketua pembangkang di DUN Johor dan peruntukan ke kawasan BN, Osman telah menyatakan kerajaan PH tidak akan menyalurkan peruntukan itu.

Dan, sebelum memberikan jawapan itu, Osman meminta pandangan Aminolhuda di sebelah kirinya. Tetapi, beliau memberikan jawapan sebelum Aminolhuda menyambungnya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri baru akan mengiktiraf ketua pembangkang, Osman meminta pandangan Aminolhuda yang duduk di sebelahnya, sebelum memberi jawapan:

“Kami akan menimbangkannya. Pada masa ini kita belum buat secara rasmi. Untuk melantik mereka secara rasmi, kami perlu melihat kedudukan kewangan. Kami ada komitmen lain maka perlu melihat tahap kewangan. Jika dibandingkan dengan negeri, peringkat persekutuan berbeza. Kita tidak boleh ikut persekutuan seratus peratus.”

“Ini adalah hak kerajaan memerintah. Anda dapat ketika BN dulu?” soal Osman kepada Aminolhuda.
Aminolhuda yang yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani menjawab: 

“Tidak”.

Lalu, Osman berkata: “Mengapa kita perlu beri? Ini seperti beri peluru kepada mereka.”

Sebelum ini, ketika PH menjadi pembangkang mereka sering mengkritik kerajaan BN kerana tidak mengiktiraf ketua pembangkang dan tidak menyalurkan peruntukan pembangunan yang saksama ke kawasan dikuasai PH.

Kini, PH pula memerintah dan BN menjadi pembangkang. Apakah kerajaan PH Johor sekarang ini sedang menelan kritikan yang mereka buat terhadap BN dahulu? Apakah ini petunjuk kepada mentaliti PH keseluruhannya?

Dan, nampaknya Menteri Besar Johor yang baharu serta Adun PAN belum bersedia untuk mengubah dasar berkenaan – mentaliti balas dendam dan mereka akan memangsakan Bangsa Johor.

Pedang mahu mengingatkan mereka sekali lagi – rakyat memilih anda bukan kerana sukakan anda, tetapi kerana tidak suka kepada dasar serta polisi kerajaan BN dan hendak menjatuhkan Najib. Rakyat tiada pilihan selain memangkah anda.

Dan, dalam tertubuhnya kerajaan baharu di negeri yang dikuasai PH, Pedang dapat maklumat berlaku perebutan di kalangan Adun keempat-empat parti dalam gabungan PH (PPBM, PKR, PAN dan DAP) untuk jawatan Menteri Besar dan Ahli Exco Negeri serta portfolio penting yang hendak dipegang.

“Biasalah, terlalu excited untuk memerintah, untuk tunjuk kuasa, untuk balas dendam. Mulalah berebut. Orang sokong mereka sebab no choice nak jatuhkan BN dan Najib. Yang paling excited ialah PAN sebab ini kali pertama menang dalam PRU,” kata seorang rakan Pedang.

Ditanya mengenai label ‘UMNO kitar semula’, Osman yang juga bekas wakil rakyat UMNO sebelum digugurkan pada PRU13, menyatakan akan memegang portfolio kewangan dan tanah dalam kerajaan PH Johor, membalas:

“Mengapa anda tidak bercakap tentang Tun (Dr Mahathir)?”

Sementara itu, beberapa pihak di Johor juga kini mula sedih dan gusar dengan kenyataan Osman.

“Kami sedih mendengar kenyataan beliau yang rata-ratanya seperti mahu membalas dendan terhadap kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Bagi saya, lebih baik mereka (kepimpinan PH) mendengar suara rakyat, kerana rakyat yang memilih mereka.

“Kita beri teguran secara lembut dahulu dan memantau apa yang akan dilakukan mereka, terutamanya pada 100 hari pertama pentadbiran mereka, sebelum mengambil langkah seterusnya,” kata Pengerusi ENGAGE, Thomas Fann.

Kata Pedang: Kerajaan PH Johor dijangka mempunyai 10 Ahli Exco yang akan memegang pelbagai portfolio. Diharap 7 daripadanya tidak menjadi ‘paling berasid’ sebagaimana dalam istilah pH.

*Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net dan tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.


Tiada ulasan: