Ahad, 27 Mei 2018

PKR gesa SPRM siasat pengerusi jawatankuasa kuil Hindu

 
Ahli majlis pimpinan pusat G Manivanan berkata dakwaan penyelewengan berkaitan rumah ibadat bukan perkara baru dan dibangkitkan sejak 10 tahun lepas.


Manivanan berkata banyak persoalan tentang pengurusan dan akaun kuil ditimbulkan.


PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penyelewengan terhadap seorang pengerusi jawatankuasa kuil Hindu melibatkan dana kerajaan dan orang ramai.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, G Manivanan berkata dakwaan yang dikaitkan dengan Tan Sri R Nadarajah, pengerusi jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Kuala Lumpur, dibangkitkan oleh pelbagai pihak sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lepas namun tiada tindakan terhadapnya.

“Walaupun pelbagai persoalan dibangkitkan terhadap pengurusan dan perakaunan kuil yang membabitkan pengerusinya, Nadarajah, namun beliau kebal daripada segala siasatan mahupun tuduhan,” katanya dalam kenyataan.

“Gaya hidup yang mewah, pengumpulan harta benda yang tidak munasabah, kediktatoran dalam pengurusan kuil tersebut menwujudkan alasan yang kukuh untuk Nadarajah disiasat secara terperinci oleh SPRM.

“Siasatan secara terperinci wajib dilakukan dengan mengambil kira beberapa persoalan pokok.
Antara persoalan yang wajar dibangkitkan ialah mengenai latar belakang, pekerjaan dan kekayaan yang dimiliki Nadarajah.”

Kuil tersebut yang terletak di Jalan Bandar merupakan yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan oleh Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.

Lembaga itu juga menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves, dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank.

Pada Jumaat, media melaporkan 20 NGO Hindu menggesa audit penuh dijalankan ke atas akaun jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam bagi tempoh sejak 20 tahun lalu oleh sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen selepas mendapati jawatankuasa itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Manivanan berkata SPR wajar menyiasat “bagaimana dana-dana dari kerajaan dan kutipan dana dari orang ramai yang disalurkan kepada kuil tersebut dibelanja dan diselaraskan.”


Tiada ulasan: