Khamis, 31 Mei 2018

Pilihan raya AJK masjid dicadang elak campur tangan kerajaan

 
Presiden TI-Malaysia Akhbar Satar berkata Jawi dan majlis agama negeri tidak perlu mencampuri urusan pelantikan AJK masjid.


Presiden TI-Malaysia Akhbar

 PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dicadang mengadakan sistem pemilihan atau pilihan raya bagi AJK baharu yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir masjid masing-masing di Wilayah Persekutuan dan negeri.

Presiden Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan majlis agama negeri tidak perlu mencampuri urusan melantik AJK Masjid, sebaliknya ia hendaklah dijalankan oleh ahli kariah terbabit.

“Hanya dengan proses pemilihan yang telus boleh mengangkat martabat masjid ke satu tahap pengurusan lebih tinggi, efektif dan maju demi kelangsungan penduduk, ahli kariah dan umat Islam secara khususnya.

“Semua pentadbiran masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri wajar mengadakan pemilihan dari kalangan ahli kariah itu sendiri, bukannya secara lantikan terus seperti sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Akhbar berkata bagi memastikan proses demokrasi tulen dan telus dalam pemilihan AJK masjid diterjemahkan menerusi penyertaan dan pemilihan terbuka melibatkan seluruh ahli kariah dan penduduk setempat.

“Hanya dengan pemilihan ahli yang berwibawa dan efektif dapat membendung institusi masjid tidak lagi dijadikan alat politik dan menjadi mangsa kepentingan individu atau kumpulan tertentu sahaja.

“Begitu juga dengan kandungan dan teks khutbah Jumaat serta aktiviti ceramah di masjid, hendakkan terhindar daripada unsur isu politik kerana ini boleh melebarkan lagi jurang perpecahan ummah,” katanya.

Sebelum ini, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati semua pentadbir dan ahli masjid tidak bermain politik bagi menjaga kesucian dan kemuliaan tempat ibadah.

“Perjalanan masjid harus diatur dengan baik dan bagi masjid baharu, pilih ahli pentadbir tepat… jangan pilih sekadar hendak menggunakan masjid sebagai platform atau batu loncatan untuk karier masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: