Rabu, 16 Mei 2018

PH tidak akan terima anggota UMNO lompat parti – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima anggota daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH.

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PPBM Pusat Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota UMNO  dari seluruh daerah di Kelantan.

Tiada ulasan: