Isnin, 14 Mei 2018

Peserta Malaysia diumum juara qari, qariah majlis tilawah antarabangsa

ANTARAPOS

 Post Pic


KUALA LUMPUR: Qari dan Qariah Malaysia, Abdullah Fahmi Che Nor dan Suhailah Zulkifly masing-masing diumumkan juara qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60.
Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.
Abdullah Fahmi memperoleh markah 92.09 peratus manakala Suhailah memperoleh markah 92.05 peratus.
Sementara qari dari Iran Mokhtar Deghan Estajroudi dan Khamisatudduha Abdul Wahab qariah dari Indonesia masing-masing muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000.
Qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah Salah Eddine Haissam dari Algeria dan Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura yang membawa pulang wang tunai RM20,000.
Bagi Kategori Menghafaz al-Quran Bahagian Lelaki, Kolim Siddiqee dari Bangladesh muncul juara, Waleed Hamad Mohamed Ahmed Almarzooqi (Emiriah Arab Bersatu) di tempat kedua dan Muzmil Ahmed Mohammed Ahmed (Sudan) di tempat ketiga.
Kategori Menghafaz al-Quran Bahagian Wanita  pula dimenangi Bilghiss Dar dari Mauritania, Siti Nadhirah Mohd Shafie (Malaysia) di tempat kedua dan Ashura Amani Lilanga (Tanzania) di tempat ketiga.
Johan bagi Kategori Menghafaz al-Quran menerima kepingan emas bernilai RM50,000, wang tunai RM25,000 dan piala iringan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa  pulang wang tunai RM20,000 dan RM15,000.
Majlis tilawah yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra itu disertai 61 peserta dari 47 negara menyertai majlis tilawah kali ini dengan 21 negara menyertai kategori Tilawah al-Quran dan 26 negara menyertai kategori Hafazan Al-Quran.
Turut berangkat dan berkenan menyampaikan hadiah pada majlis itu Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Sementara itu Abdullah Fahmi, 34 ketika ditemui pemberita berkata kejayaan  beliau itu didorong oleh pengalamannya yang telah banyak menyertai bertanding  tilawah dan sering bertalaqqi, iaitu bertemu dan belajar terus mengenai sebutan yang betul  dengan banyak guru al-Quran.
"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kejayaan ini, dan berharap dapat mengajar lebih ramai golongan muda mengenai kaedah bacaan  talaqqi al-Quran yang betul," katanya.



Tiada ulasan: