Selasa, 29 Mei 2018

Persatuan Alumni UiTM bantah tuntutan Hindraf

malaysiakini

   

Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) berteguh pendirian dan sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan semua kaum ke pusat pengajian tempatan itu.

Presiden PAUiTM Datuk Mohd Zaini Hassan hari ini berkata persatuan itu yang mewakili 700,000 alumni UiTM memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang antara lain mendesak agar kemasukan UiTM dibuka kepada kaum lain.

Katanya, kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Hindraf hari ini menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India.

Antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.
Mohd Zaini sebaliknya berkata PAUiTM mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung bumiputera itu.

"Bagi memastikan UiTM tidak terus diganggu gugat oleh mana-mana pihak lagi, kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-raja Melayu," katanya.
- Bernama


Tiada ulasan: