Jumaat, 11 Mei 2018

Pengajaran pedih buat Umno yang angkuh pada ulang tahun ke-72


Kini, parti orang Melayu itu berkecamuk, tepat 62 tahun selepas ia ditubuhkan pada 1946.


Gambar AFP


Ketika rakyat Malaysia meraikan keputusan pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei sambil bercuti panjang, di celah-celah kebimbangan bercampur kegembiraan, tidak ramai terfikir tentang bencana yang melanda Umno menjelang ulang tahun penubuhannya ke-72, pada 11 Mei 1946.

Akibat keangkuhan, reputasinya musnah selepas keputusan pilihan raya yang mengejutkan semalam.
Tidak ramai rakyat Malaysia hari ini yang menyedari kepentingan tanggal 10 Mei.

Tarikh ini pada 1969, Umno pertama kali merasai kegagalan dalam pilihan raya umum (PRU) yang merosakkan rekod tanpa kalahnya: sebuah gerakan popular penduduk bandar yang tidak berpuas hati menjatuhkan parti Perikatan diketuai Umno di Pulau Pinang, dan hampir menewaskannya di Perak dan Selangor, selain menafikan dominasinya di Parlimen.

Tiga hari kemudian, pada 13 Mei 1969, rusuhan kaum meletus sehingga mengakibatkan penggantungan Parlimen, perintah darurat diumumkan Tun Abdul Razak dan disusuli penubuhan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sejak itu.

Ramai daripada generasi itu menyalahkan Umno atas peristiwa berdarah 13 Mei, yang dilihat sebagai sebahagian usaha parti itu untuk terus berkuasa.

Jika Umno ditewaskan pada PRU 1969, ia tewas lagi pada 2008, sekali lagi pada 2013 dan hari ini.

Tiada orang yang lebih terkesan daripada anak Tun Razak sendiri, Datuk Seri Najib, pengerusi gabungan yang ditubuhkan untuk mengubat luka sebuah negara yang berdepan ketakutan perkauman.

Beliau berusaha membina semula BN daripada kekalahan besar pada 2013, dan hari ini beliau terpaksa menerima keputusan rakyat itu secara budiman.

Melihat kepada pemilihan tarikh pilihan raya umum ke-14 ini – 48 tahun selepas 1969 – tidak kurang pentingnya dengan pemilihan cuti umum untuk meraikan kemenangannya.

Sekiranya BN memenangi pilihan raya umum ini, cuti umum pada 14 dan 15 Mei akan membolehkan Umno menyambut ulang tahun penubuhannya tanpa perlu mengimbau kembali memori pahit 1969 yang masih dalam ingatan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan 10 dan 11 Mei sebagai cuti umum untuk meraikan kejayaannya memimpin Pakatan Harapan, juga kejayaan memecah belahkan Umno pada 1987-88, meninggalkan Umno sebanyak 3 kali, meramalkan Umno akan pupus pada 2020 dan tidak henti membangkitkan ancaman 13 Mei pada setiap PRU yang beliau adakan.

Sekiranya ada sedikit penawar bagi generasi 1969 yang terluka, ia mungkin muncul dalam bentuk lelaki yang pernah dikecam anti-Cina dan anti-nasional, kini memimpin kelompok orang bandar tidak berpuas hati bersama kekuatan masyarakat Melayu luar bandar untuk mencapai kemenangan seperti 1969.

Bagi rakyat Malaysia dan Umno khasnya, ia adalah peringatan pedih tentang bahaya politik perkauman dan kemampuan pendekatan inklusif untuk “membalas dendam”.

Bagi BN dan Umno, tiada pengajaran lebih menyakitkan berbanding keangkuhan yang memakan diri.

Walaupun pendekatan kaum mungkin merupakan sumber kekuatan lampaunya, Umno perlu mencari matlamat baru. Barangkali caranya ialah tidak mengulangi kesilapan lampau.

Najib tumbang dalam usahanya membina semula legasi bapanya untuk membentuk Malaysia yang lebih inklusif.

Sama ada Umno akan bangkit semula atau sebaliknya, ia bergantung kepada Najib atau penggantinya benar-benar menginsafi kegagalan parti itu dan BN, serta mereka tewas kepada tindakan lampau sendiri di tangan orang yang sangat arif dengan cara mengeksploitasi kelemahan itu untuk mencapai matlamatnya.

*Gobind Rudra ialah pengarang konsultan di FMT.

Tiada ulasan: