Khamis, 17 Mei 2018

Pembubaran sementara PPBM ditarik balik, boleh jalan aktiviti

Manzaidi Mohd Amin
 
KDN memaklumkan notis pembubaran PPBM ditarik balik berkuatkuasa semalam.
KDN memaklumkan notis pembubaran PPBM ditarik balik berkuatkuasa semalam.


KUALA LUMPUR – Pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 5 April itu, telah ditarik balik berkuat kuasa semalam.

Serentak itu, notis pembubaran sementara mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 dibatalkan melalui notis Seksyen 14(6) Akta 335.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, notis di bawah Seksyen 14(5) yang dikeluarkan kepada PPBM pada 5 April lalu, telah dibatalkan.

“Hari ini, Kementerian Dalam Negeri ingin memaklumkan bahawa Pendaftar Pertubuhan telah membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 5 April 2018 selaras dengan Seksyen 14(6) Akta yang sama dan berkuatkuasa mulai 16 Mei 2018.

“Notis di bawah Seksyen 14(5) Akta telah menyebabkan pembubaran sementara PPBM dan di bawah Seksyen 14(6) Akta, Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) Akta yang sama apabila maklumat-maklumat yang diminta itu telah diberikan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Pada 5 April lalu, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, dan memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, dan tidak membenarkan PPBM menggunakan nama, logo atau melakukan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Notis pembubaran itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta menerusi notis statutory di bawah seksyen 14(2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Februari itu.

Menurut Alwi, keputusan itu telah dicapai setelah pertimbangan ke atas maklumat yang dikemukakan oleh pihak PPBM yang diterima oleh ROS.

“Dengan penyelesian isu tersebut, permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) juga telah diberikan kelulusan selaras dengan Seksyen 7 Akta yang sama pada 16 Mei 2018.

“Oleh itu, PPBM dan PH boleh menjalankan aktivitinya selaras dengan objektif dan perlembagaan berdaftarnya serta menjalankan setiap urusan mengikut kehendak AKta 335,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: