Selasa, 29 Mei 2018

Peluang pekerjaan golongan muda perlu jadi agenda awal kerajaan



Peluang pekerjaan golongan muda perlu jadi agenda awal kerajaan
Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan satu badan khas untuk mengkaji kaedah mewujudkan peluang-pekerjaan bagi rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang menganggur.

Beliau berkata, Kerajaan perlu mengenalpasti kepincangan pentadbiran kerajaan terdahulu hingga mendorong permasalahan ini berlaku.

“Pekerjaan-pekerjaan baharu boleh dijelmakan melalui pelbagai sektor termasuklah pertanian, penternakan, usahawan kecil dan sederhana, dan sebagainya.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji langkah untuk melahirkan peluang-peluang baharu rakyat Malaysia, antara lain dengan memberi peruntukan dan kursus kepada semua yang berkelayakan tanpa memilih bulu dan tidak dibatasi dengan kepentingan politik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional memuji tindakan drastik dilalukan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran baru-baru ini, yang menegaskan akan mengkaji semula perjanjian mengenai pekerja asing dengan semua negara yang terlibat dalam usaha mengurangkan kebergantungan dengan mereka.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing.

“Dengan pengurangan pekerja asing, ia akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada pekerja tempatan untuk memperolehi pekerjaan.

“Namun, kami mengharapkan agar gaji yang ditawarkan lebih realistik dan relevan dengan keadaan semasa.

“Kami sangat yakin, Kerajaan Persekutuan yang membawa semangat Malaysia Baru ketika ini sangat cakna dengan kehendak dan keperluan rakyat.

“Pemuda AMANAH Nasional yakin kepimpinan yang ada pada hari ini punya aspirasi dan iltizam tinggi ke arah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya.

Tiada ulasan: