Sabtu, 12 Mei 2018

Pelantikan Guan Eng, Mat Sabu, Muhyiddin belum muktamad - Rafizi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan, tegas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
 
Ini katanya, sebarang keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan (PH).
 
"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dalam perjalanan ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk berbincang dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan ini.
 
"Kita yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan PH.
 
"Penjelasan ini dibuat kerana saya ditanya mengenai ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan sebentar tadi," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman rasmi Rafiziramli.com, hari ini.
 
Terdahulu, Dr Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
 
Tujuh lagi kementerian termasuk Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta Kementerian Luar akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.
 
Beliau mengumumkannya pada satu sidang media selepas selesai mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Wisma Yayasan Selangor awal petang tadi.
 
Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pelantikan lima tokoh terkemuka negara untuk menjadi anggota majlis penasihat kerajaan.
 
Mereka adalah Tun Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara), Tan Sri Mohd Hassan Marican (bekas presiden Petronas), Robert Kuok (ahli perniagaan), dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi)
 
 

Tiada ulasan: