Khamis, 31 Mei 2018

Pegawai Imigresen kasar sudah ditahan kerja, kata KP Imigresen


Pegawai Imigresen kasar sudah ditahan kerja, kata KP Imigresen



Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  yang bertindak kasar terhadap warga asing dalam video tular di Facebook (FB) hari ini, sudah ditahan kerja.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan pengurusan tertinggi JIM mengambil tindakan serta-merta terhadap pegawai terbabit.

“Perlakuan pegawai terbabit jelas menjejaskan imej jabatan dan bertindak bertentangan kod etika jabatan serta perkhidmatan awam.

“Pihak jabatan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang melakukan kesalahan sedemikian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pegawai yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan serius tanpa kompromi oleh pihak jabatan termasuk dibuang kerja.

Katanya, JIM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tata tertib berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) Pindaan 2002.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM di Wisma Persekutuan, Johor Bahru, kira-kira 9 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan dalaman dijalankan berhubung insiden berkenaan dan pegawai terbabit sudah dikenakan tindakan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan tindakan pegawai itu dan sudah mengambil tindakan terhadapnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan kejadian itu berlaku apabila lelaki warga Myanmar tidak faham arahan diberikan walaupun berulang kali diterangkan pegawai berkenaan.

Dalam video berdurasi sembilan saat dan tular itu, pegawai berkenaan dilihat menampar muka warga asing itu menggunakan sesuatu dipercayai pasport.

Pegawai itu kemudian dilihat meletakkan tangan kiri lelaki itu pada pengimbas dan menumbuk tangan imigran itu beberapa kali sebelum memberitahunya supaya diam dan tidak menggerakkan tangannya.

Tiada ulasan: