Khamis, 17 Mei 2018

Pas sifatkan Anwar rakus mahu rampas Kelantan, Terangganu

Manzaidi Mohd Amin
 
Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan ucapan sulung Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perhimpunan rakyat di Petaling Jaya malam tadi sebagai rakus.

Kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, beliau tersentak apabila mendengar komitmen lantang Anwar hendak menawan Kelantan dan Terengganu pada pusingan (pilihan raya umum) akan datang.

“Setelah membilang satu persatu negeri yang berjaya ditawan oleh Pakatan Harapan (PH),
kemudiannya dengan lagak Mr Arrogant, beliau menyebut Kelantan dan Terengganu akan ditawan kelak untuk menyempurnakan kepuasan dan keseronokan mereka.

“Bahasa mudahnya, PH mula mewarisi kerakusan Barisan Nasional (BN) untuk merampas Kelantan dan Terengganu dari tangan Pas. Meskipun PRU15 masih jauh dan PRU14 baru sahaja berakhir, PH kelihatan tidak sabar mempamerkan sikap dan kemahuan politik rakusnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nasrudin memberitahu, beliau pada awalnya tumpang gembira atas kemenangan PH yang berjaya menewaskan BN yang berada ditampuk kuasa sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, setelah mendengar ucapan Anwar malam tadi beliau rasa tercabar, dan percaya anak muda yang bekerja keras mempertahankan Kelantan dari dirampas oleh BN serta memenangi kembali Terengganu, turut rasa dicabar oleh PH.

“Jika itu tekad mereka, kami tetap akan bangkit mempertahankan Kelantan dan Terengganu serta menyelamatkannya dari menjadi mangsa rakus BN 2.0 ini.

“Kita faham kenapa perlu kita berjuang untuk menjatuhkan BN, meskipun kita berbeda ideologi perjuangan. Tetapi, kita juga perlu menyatakan sikap, tidak ada sebab kenapa kamu (Anwar) patut lawan kami dan menawan negeri yang kami tadbir secara telus, adil, berkebajikan dan mematuhi kehendak syariat.

“Format PRU15 kelak pasti berubah. Jika PH bernafsu besar untuk menawan Kelantan dan juga Terengganu kelak, Pas semestinya diletakkan dalam posisi siap dan sedia, bukan sahaja untuk mempertahankan dua negeri itu, tetapi turut merencana kemenangan Pas di negeri lain,” ujarnya.

Beliau berkata, perjuangan menegakkan syariat Allah makin mencabar dan memerlukan pejuang untuk terus bangkit dengan semangat berlipat ganda, di samping bermuhasabah atas pelbagai kelemahan yang wajar diperbaiki. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: