Jumaat, 4 Mei 2018

PAS Enggan Campur Tangan ‘Skandal’ Mat Sabu

Ammar Sufian


PAS enggan masuk campur isu Mat Sabu

PAS mengambil pendirian enggan campur tangan dan menolak dakwaan skandal seks melibatkan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu selagi belum terbukti kebenarannya.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

“Prinsip kami, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah. Itu prinsip yang kita pegang.

“Jadi PAS tak mahu campur tangan dalam urusan begini, kita serah pada rakyat untuk menilai,” katanya ketika diminta mengulas isu tersebut.

Semalam, seorang lelaki bernama Rizal Bakar yang memperkenalkan diri sebagai anggota AMANAH Kuala Kedah mendakwa pemimpin AMANAH itu terlibat dalam skandal seks dengan seorang wanita.

Bagaimanapun Rizal yang mengaku pengkagum Mat Sabu tidak memberikan bukti atau mendedahkan video seks yang didakwanya, sebaliknya menunjukkan tangkap layar perbualan WhatsApp antara seorang lelaki dan wanita.

Susulan itu, Mohamad Sabu dalam sidang media hari ini berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Rizal atas dakwaan berkenaan.

AMANAH pula akan mengambil tindakan sama terhadap tiga individu yang terlibat dalam sidang media itu kerana menyamar sebagai anggota mereka.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, sesuatu berita tidak boleh dianggap sebagai berita (sahih) selagi ia berada dalam ruang fitnah kecuali mempunyai bukti-bukti yang jelas.

“Bagi kita isu macam ini bukan perkara baru, dekat-dekat pilihan raya mungkin macam-macam. Bagi kami tuduhan mestilah dikemukakan dengan bukti yang jelas.

“Penglibatan (hubungan) lelaki dan perempuan ini bukan baru dalam sejarah politik Malaysia, jadi bagi kita kita tak nak campur tangan ini urusan peribadi beliau.

“Kita pun tak tahu macam mana (bentuk) hubungan itu betul ke tak betul,” ujarnya

Tiada ulasan: