Jumaat, 11 Mei 2018

Pakatan Harapan Perak Mohon Perkenan Menghadap Sultan

Ammar Sufian




Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memohon perkenan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bagi mendapatkan sembah nasihat mengenai penubuhan kerajaan negeri selepas Pakatan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Perak.

Pakatan HARAPAN menerusi PKR memenangi 29 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) 27 kerusi dan PAS tiga kerusi, dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lokasi pertemuan itu akan dimaklumkan kemudian, katanya.

“Kita akan dapatkan perkenan Sultan Perak untuk menghadap, dan seterusnya mendapat sembah nasihat dan perkenan untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media khas di Ipoh awal pagi ini.

Ketika ditanya bagaimana HARAPAN akan membentuk kerajaan negeri sedangkan ia tidak mendapat majoriti mudah, Ahmad Faizal berkata :”Perkara itu belum difikirkan.

“Ini akan dimaklumkan apabila kami diterima menghadap Sultan Perak, kami akan maklumkan”, katanya.

Ahmad Faizal juga mengharapkan peralihan kuasa daripada BN kepada HARAPAN akan dibuat secara berhemah dan segera bagi menjaga keharmonian Perak, jika HARAPAN berjaya membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata Pakatan Harapan berterima kasih kepada rakyat Perak kerana memberi mandat kepada pakatan itu pada PRU14, yang disifatkannya sebagai peristiwa yang sangat bererti.

“Usaha kami telah berjaya untuk mendapatkan mandat daripada rakyat dan menerima kami. Amanah ini perlu kami pikul sebaik mungkin,” katanya.– Bernama


Tiada ulasan: