Jumaat, 4 Mei 2018

NIK OMAR : TINDAKAN TERDESAK PH

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR

 



PAS menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) memancing Nik Omar Nik Aziz menjadi calonnya bertanding di DUN Cempaka sebagai satu tindakan terdesak untuk menewaskan parti itu di Kelantan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak terjejas dengan strategi PH Kelantan menggunakan ketokohan bekas anak Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mempengaruhi pengundi PAS di negeri itu beralih arah menyokong PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Orang PAS melihat dasar parti PH  mengambil anak pemimpin PAS adalah satu tindakan sangat terdesak.

“Orang PAS tak ikut  pemimpin yang keluar parti. Orang PAS hanya mengikut parti dan bukan ikut orang,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media di Sungai Buloh dalam siri kempen PRU14 menjelajah Selangor, pada Khamis.

Turut kelihatan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi, calon PAS DUN Paya Jaras Hanafi Zulkapli dan calon PAS DUN Kota Damansara Siti Rohaya Ahad.

Ditanya bagaimana keyakinan PAS tidak terjejas dengan tindakan Nik Omar itu, Abdul Hadi menjelaskan kekuatan PAS selama ini adalah bergerak dalam jemaah dalam satu parti , tidak bergantung pada individu.

“PAS Kelantan tidak terjejas, kekuatan PAS bukan bergantung pada individu tetapi pada parti itu sendiri,

“PAS yakin tindakan Nik Omar tidak menjejaskan PAS di kelantan. Kita yakin kerana antaranya ibunya sendiri berkempen untuk PAS,” ujarnya.


Tiada ulasan: