Sabtu, 12 Mei 2018

Najib undur sebagai presiden Umno, pengerusi BN

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau akan berundur sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta merta. 
 
Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik untuk menggalas tugas-tugas itu, dibantu oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn. 
 
Najib berkata keputusannya berpandukan “prinsip siapa yang menjadi ketua dalam sesebuah parti dan parti itu gagal dalam sesuatu pilihan raya,  maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang yang berkenaan.”
 
“Maka saya dengan hati yang terbuka menerima keputusan untuk melepas kedua-dua jawatan tersebut.  Ini adalah satu yang perlu saya lakukan atas prinsip moral,” tambah beliau. 
 
Najib membuat pengumuman itu berikutan beberapa desakan lantang di dalam parti, termasuk daripada Hishammuddin, mahukan perubahan pucuk pimpinan Umno. 
 
Diapit oleh Zahid dan Hishammuddin, Najib mengadakan sidang media itu setelah beliau dan isterinya dilarang  oleh pihak imigresen ke luar negara. 
 
Beliau dan Datuk Seri Rosmah Mansor dijadualkan bertolak ke Indonesia hari ini untuk cuti pendek – tiga hari selepas Umno dan BN mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah masing-masing.
 
Malaysia kini di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.  Gagasan empat parti itu juga menguasai sebilangan besar daripada negeri-negeri termasuk Johor  - kubu utama Umno sebelum ini. 
 
Pada sidang media hari ini, Najib sekali lagi mengambil tanggungjawab di atas kekalahan itu namun menegaskan beliau tetap akan bersama Umno. 
 
Beliau juga mendakwa kekalahan BN adalah kerana isu “pesepsi dan bukan realiti” yang mempengaruhi  keputusan  sebilangan besar pengundi untuk menyokong PH. 
 
“Saya tetap yakin bahawa jasa Umno dan BN terlalu besar kepada negara, selama lebih 60 tahun memanglah segala kejayaan kita adalah usaha daripada punca dan sumbangan kepimpinan Umno dan BN. 
 
“Sebab itu kita semua rasa sedih dengan apa yang berlaku. Namun sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi kita terima keputusan rakyat dengan hati terbuka. 
 
Najib yakin Umno mampu memperbaiki diri dan bangkit semula daripada abu kekalahan pilihan raya umum ke-14 (PRU14). 
 
“Mungkin inilah (kekalahan) memberi kita peluang memperbaiki apa sahaja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin ini banyak berkisar krepada soal persepsi daripada realiti. 
 
“Siapa yang menang  dalam perang persepsi,  dia mungkin dapat sokongan rakyat,” kata beliau. 
 
BN hanya memenangi 79 kerusi Parlimen dan jumlah itu semakin susut dengan beberapa Ahli Parlimen Umno dilaporkan melompat atau memberi sokongan kepada PH. 
 
PH yang merangkumi PKR, DAP, Amanah dan Bersatu,  mempunyai sekurang-kurangnya 135 kerusi parlimen, termasuk yang dimenangi oleh sekutunya Warisan di Sabah. 
 
PH menerajui Kedah, Perak, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah manakala BN hanya berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Perlis, Pahang dan Sarawak. 
 
PAS yang menang 18 kerusi Parlimen menawan Terengganu selain mempertahankan Kelantan. 
 
Najib dilantik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 setelah BN di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi hilang majoriti dua pertiga di Parlimen untuk kali pertama pada PRU 12. 
 
Najib gagal meraih kembali majoriti itu pada PRU13 pada 2013 dan lima tahun kemudian – 9 Mei lalu.  Umno serta BN terus kecundang di bawah pimpinan beliau, sekaligus memaksa beliau meletak jawatan dalam parti. 


Tiada ulasan: