Jumaat, 11 Mei 2018

Mustapa: Umno Kelantan cacat, sayap dipotong, kaki dipotong

 
Mustapa berkata Umno Kelantan hilang sokongan dengan tumbangnya kerajaan BN di Putrajaya.


Mustapa (tengah) pada sidang media di Kota Bharu hari ini bersama pimpinan BN Kelantan.


KOTA BHARU: Tumbangnya kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat menyebabkan Umno Kelantan kehilangan sokongan yang kuat, kata Ketua BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Dulu kita ada kemudahan ada 2 sayap, ada 2 kaki dan kemudahan lain, sekarang sayap itu sudah dipotong dan kaki pun cacat sebab sudah dipotong,” katanya kepada pemberita di pejabat Umno Kelantan hari ini.

“Walaupun dipotong itu tidak sedikitpun mematahkan semangat saya untuk berjuang demi Umno dan rakyat.”

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan itu berkata mereka bersedih atas kegagalan menawan Kelantan dari PAS dan mempertahankan Putrajaya dari Pakatan Harapan, dan menambah misi di Kelantan gagal kerana ditolak pengundi muda.

Beliau berkata dia dalam proses muhasabah diri atas kekalahan baru-baru ini dan berharap ahli Umno akan terus berjuang merampas kembali kerajaan.

“Saya juga akan menjalankan tugas sebagai Adun Ayer Lanas dan Ahli Parlimen Jeli,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Ulangtahun Umno ke-72, Mustapa berkata ulang tahun kali ini cukup bersejarah kerana ia disambut ketika mereka tidak lagi berkuasa.

“Kali pertama kita kecundang di peringkat nasional sejak 72 tahun parti tertua ini memerintah negara, tidak putus rekod dipegang Umno dan sekarang rekod ini terhenti.

“Harapan saya kita musabah dan istiqamah. Kita sedar dengan apa yang berlalu dan kita bina kekuatan kita semula,” katanya.

BN kalah teruk di Kelantan, apabila memenangi hanya 8 daripada 45 DUN dan 5 daripada 14 Parlimen.


Tiada ulasan: