Jumaat, 11 Mei 2018

Mungkin wujud kerajaan campuran di Perak - Penganalisis

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Edwin Michael menjangkakan berlakunya kerajaan campuran di Perak, antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
 
Pendekatan ini dilihat apabila hanya BN yang boleh menerima syarat parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang umum diketahui membawa agenda dan perjuangan mengenai Islam.
 
"Saya menjangkakan di Perak dan di Kedah akan membentuk kerajaan campuran bersama dengan PAS.
 
"Ini kita boleh agak kerana pendirian PAS lebih selesa bekerjasama dengan BN atas satu faktor utama, selagi BN boleh memberikan jaminan bahawa pemerintahan akan berlandaskan al-quran dan sunnah," ujar beliau kepada Antarapos.
 
Kata Edwin lagi, tiada kemungkinan PAS bergabung dengan PKR kerana dari awal mereka sudah memberitahu bahawa tidak akan ada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disebabkan adanya DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Dan sementara itu, kita juga boleh menjangkakan PAS Perak kemungkinan besar tidak bergabung dengan Pakatan Harapan kerana daripada awal lagi sebelum PRU lagi mereka konsisten bahawa tidak akan bekerjasama Pakatan Harapan," katanya.
 
PAS mula meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) pada 2015 selepas parti itu dikatakan mengenepikan agenda Islam yang dibawa mereka.
 
Selepas itu Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan bersama PKR, DAP, dan Amanah, kemudian disusuli PPBM yang menyertai pada tahun lalu.
 
Pembentukan kerajaan negeri di Perak masih 'tergantung' selepas tidak ada parti yang melepasi majoriti mudah.
 
Di Perak, PKR menang 29 kerusi, BN (27) dan PAS (tiga) daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.
 
Bagi PKR, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
 
Namun begitu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui satu kenyataan media mengesahkan mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.
 
 

Tiada ulasan: