Rabu, 16 Mei 2018

Mukhriz sedia kembali ke KFA jika penyokong mahu



Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan kesediaannya untuk menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekiranya itu yang dimahukan penyokong-penyokong ‘Lang Merah’.

Katanya beliau tidak kisah diberi jawatan apa pun kerana fokus utamanya sekarang adalah untuk memastikan bola sepak di Kedah dapat dibangunkan dengan sewajarnya.

"Kalau penyokong rasa saya sesuai untuk terajui KFA sekali lagi sebagai Presiden KFA, saya boleh terima cadangan tersebut tetapi perlu lihat adakah tindakan itu perlu atau cukup sekadar saya membantu dari luar sahaja.

"Saya tahu, sebelum ini dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah telah menyatakan bahawa akan menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA kerana ia merupakan salah satu punca kepada masalah bola sepak Kedah sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata beliau menyerahkan keputusan pemilihan itu kepada pihak pengurusan KFA dan suara peminat bola sepak Kedah.

Manifesto PH negeri antara lain mengandungi janji PH untuk menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA.

Terdahulu, Mukhriz tiba di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman pada 8 pagi untuk memulakan hari pertamanya bertugas sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.-Bernama


Tiada ulasan: