Khamis, 31 Mei 2018

Malaysia, Singapura bekerjasama kesan wang 1MDB

Wartawan MalaysiaGazette
Mesyuarat Pasukan Petugas Khas 1MDB yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi tadi. 
 

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Malaysia dan Singapura bekerjasama bagi membawa pulang sejumlah wang kepada Kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada firma itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Pasukan dari Malaysia itu terdiri daripada Tan Sr Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.

Dalam kenyataan di sini, jawatankuasa Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan bagi mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi-saksi di Singapura secepat mungkin.

Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan ‘money trail’ bagi mengesan wang serta aset-aset yang masih wujud.

Mesyuarat hari ini telah dihadiri oleh sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, Autoriti Kewangan Singapura (MAS).

Manakala pihak Malaysia diwakili oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: