Rabu, 16 Mei 2018

Layakkah Najib sambung legasi Tun Razak?

MALAYSIAKINI

   

Q&A | BN menonjolkan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak sebagai pewaris legasi bapanya Tun Razak Hussein, bapa pembangunan negara.

Namun begitu, pakar ekonomi berpendapat Najib telah tinggalkan banyak prinsip serta keutamaan Tun Razak yang masih relevan dan sesuai pada hari ini.

Terutamanya, kata bekas penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi dan sosial Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, dalam penggunaan hasil negara dan sistem percukaian.

“Tun Razak juga tegas menggunakan hasil negara. Sistem cukai yang lebih dikenakan terhadap orang kaya serta pendapatan tinggi pada zamannya telah diubah.

“Dewasa ini, lebih dikenakan terhadap orang yang hidup susah, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” katanya.

Kenapa legasi Tun Razak dianggap penting kepada Dr?

Tun Razak mengambil alih tampuk kepimpinan negara setelah peristiwa 13 Mei 1969. Beliau berpendapat bahawa perpaduan negara serta integrasi nasional penting bagi menjamin masa depan Malaysia. Masyarakat Malaysia mesti bersatu tanpa mengira kaum atau agama untuk mencapai pembangunan berterusan.

Ke arah itu, Tun Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan serampang dua matanya. Pertama, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dengan menyediakan pekerjaan untuk semua. Kedua, ‘penyusunan semula’ masyarakat supaya kaum tidak lagi menentukan kedudukan ekonomi.

DEB telah berjaya kerana usaha itu diteruskan di bawah penggantinya, Tun Hussein Onn. Maka, sektor awam dan perkilangan telah berkembang pesat pada tahun 1970an, yang telah menyumbang kepada pencapaian dua matlamat besar DEB.

Bagaimana pula pada zaman Tun Dr Mahathir dan seterusnya?

Di bawah pimpinan Mahathir, perindustrian terus berkembang pesat, walaupun beberapa perusahaan industri berat tajaan kerajaan kurang berjaya. Masa itu, campur tangan kerajaan dalam ekonomi bertujuan memajukan ekonomi nasional.

Namun, kronisme mula mempengaruhi dasar, terutamanya pemberian kontrak infrastruktur besar, penswastaan serta cara menyelamatkan perniagaan setelah krisis kewangan 1997-1998. Pertumbuhan pesat selama sepuluh tahun terbantut setelah krisis kewangan. Pertumbuhan ekonomi setelah 1997 kurang pesat dan sektor industri tidak terus berkembang setelah Mahathir undur pada 2003.

Usaha Pak Lah untuk hidupkan semula sektor pertanian gagal, tetapi perusahaan awam, termasuk syarikat kaitan kerajaan yang pernah diswastakan, berjaya dipulih di bawah pengurusan lebih profesional yang disusun Tan Sri Nor Yakcop.

Apakah Dr mengesyorkan kita kembali kepada DEB dan dasar Tun Razak yang lain?

Dunia dan Malaysia telah alami banyak perubahan dalam setengah abad yang lalu. DEB pun banyak tercapai. Oleh itu, tidak sesuai lagi sekiranya mana-mana pemimpin mengambil tindakan atau langkah ekonomi yang sama seperti Tun Razak. Tindakan baru dan idea segar perlu memandangkan peredaran masa.

Namun begitu, jelas juga bahawa Datuk Najib telah tinggalkan banyak prinsip serta keutamaan Tun Razak yang masih relevan dan sesuai pada hari ini. Langkah-langkah PM jelas bercanggah dengan legasi pimpinan Tun Razak.

Dengan menggunakan sumber kewangan yang terhad ketika itu, Tun Razak telah mengambil alih syarikat asing besar ladang getah, lombong timah dan agensi perdagangan antarabangsa. Beliau juga telah memesatkan perindustrian dan menjana banyak peluang pekerjaan.

Tun Razak juga tegas menggunakan hasil negara. Sistem cukai yang lebih dikenakan terhadap orang kaya serta pendapatan tinggi pada zamannya telah diubah. Dewasa ini, lebih dikenakan terhadap orang yang hidup susah, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan GST.

Tun Razak diakui umum sebagai Bapa Felda.

Felda telah banyak berubah sejak ditubuhkan enam dekad lalu. Felda merupakan program yang dibenarkan penjajah British pada tahun 1950-an bagi ‘menawan hati dan minda’ orang Melayu miskin yang kelaparan tanah. Felda diakui sebagai usaha yang mampu memajukan nasib peneroka.

Namun begitu, matlamat Felda telah berubah pada era pemerintahan Datuk Najib. Felda Global Ventures ditubuhkan menjadi satu syarikat gergasi yang kononnya akan membawa keuntungan lumayan. Malangnya, mereka yang membeli saham FGV, termasuk para peneroka, merasa tertipu kerana nilai saham FGV kini jatuh ke paras kurang dari 40 peratus harga yang dibayar mereka.

Tapi dalam buku “Economic Reform In Malaysia: The Contribution Of Najibnomics” (bawah), Dr Bruce Gale memuji pengurusan makroekonominya.

Seperti beberapa pengarang upahan lain, Gale ‘cari makan’. Dia bukan seorang ahli ekonomi makro yang diakui oleh sesiapa. Buku serta pujian lain seumpama itu mengingatkan kita bahawa dasar dewasa ini tidak pernah dilaksanakan dahulu, termasuk pada zaman Pak Lah.




Pemerintahan sekarang lebih mementingkan ‘public relations’, yang sering berkesan terhadap mereka yang jahil. Ini zaman ‘indah khabar pada rupa’ sedangkan rupa lebih dipentingkan daripada isi.

Beberapa syarikat serta orang lain juga terlibat dalam usaha demikian.

Buku Gale juga ingatkan kita bahawa ini zaman ‘creative accounting’, yang kira-kira resmi disyaki mempunyai ‘udang sebalik batu’. Misalnya, hutang yang dijamin kerajaan berlipat ganda tiga kali dibanding dengan hutang kerajaan resmi yang kembang dua kali ganda.

Harta kerajaan, termasuk perusahaan milik pemerintah, diswastakan kepada syarikat kroni dengan harga murah. Pendekatan, aset yang bakal datangkan untung diswastakan, sedangkan aset dan perusahaan yang rugi diambil alih kerajaan ataupun setengah perusahaan yang dikuasai kerajaan. Urus niaga demikian juga disalah pakai untuk selamatkan 1MDB.

Bagaimana pula dari segi ekonomi dan politik antarabangsa? 

Sebelum menjadi perdana menteri, Tun Razak salah seorang pengasas ASEAN, yang berusaha menjadikan rantau ini ‘kawasan yang damai, bebas dan berkecuali’ atau ZOPFAN.

Malangnya, setelah Pak Lah, jelas bahawa dasar luar negeri berhaluan ke Washington sehingga Malaysia ingin menyertai TPP yang digubal kepentingan korporat Amerika. Trump pula menentang segala yang diwarisinya, terutamanya dari zaman Obama. Namun, PM terus ingin merapatkan diri dengan Trump, sehingga sanggup ‘membawa ufti’, kononnya untuk selamatkan ekonomi Amerika, tetapi tidak dilayan sangat oleh Trump.

Di samping itu, 1MDB pula terlibat dengan syarikat PetroSaudi, yang kononnya dikuasai oleh salah seorang kerabat diraja Saudi. Setelah mangkatnya raja Saudi, PM bertambah rapat dengan raja muda baru Arab Saudi. Dikatakan JAKIM pula disusun semula sesuai dengan fahaman Wahabi Saudi.

Malaysia menyertai pasukan tentera yang memerangi Yaman di mana bom Amerika-Israel telah membunuh ramai rakyat yang tidak berdosa.

Walaupun hubungan Malaysia dengan China rapat sejak lawatan Tun Razak pada tahun 1974, dan perhubungan perdagangan dua hala telah berkembang pesat pada zaman Mahathir, PM seolah-olah menggadaikan Malaysia untuk memperoleh pinjaman serta pelaburan China; beberapa pelaburan China membawa banyak kesan buruk tetapi sedikit faedah, apa lagi diberi keistimewaan tertentu yang sukar diterima rakyat seperti kecualian dari membayar GST.

Dasar dewasa ini seolah-olah ‘menyusukan kera di hutan’, sedangkan rakyat Malaysia diabaikan.

Hampir setengah abad setelah Tun Razak memulakan usaha memiliki ekonomi Malaysia, kepentingan asing lebih menguasai ekonomi kita sekali lagi, terutamanya dalam dekad lalu.

Yang membimbangkan saya, kita seolah-olah belum belajar dari peristiwa krisis kewangan Asia tahun 1997-1998 dan krisis dunia 2008-2009. Kerajaan seolah-olah nak jadi pusat kewangan antarabangsa sampingan (di samping Singapura) yang akan mendedahkan ekonomi kita kepada ancaman baru sekali lagi.

Pemimpin berlagak seolah-olah pandai sangat. Mereka sudah mula percaya propaganda mereka sendiri yang seumpama masuk bakul, angkat sendiri.   

Siri 1: Harapkan pegar, pegar makan padi 
Siri 2: Harapkan pegar, pegar makan padi (II) 
Siri 3: Kenapa pakar ekonomi pun tolak ECRL? Ini kata Jomo 
Siri 4: Jomo: Harapkan Felda, Felda bikin rugi 
Siri 5: 'Belanjawan negara bebankan orang ramai'



Tiada ulasan: