Ahad, 20 Mei 2018

Larangan terhadap Nik Omar bersifat sementara: Nik Abduh

ainulillia

Tindakan diambil berdasarkan keputusan ahli keluarga besar


KOTA BHARU – Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, larangan terhadap abangnya, Nik Omar sebagai imam dan penceramah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka hanya bersifat sementara.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, tindakan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan semua ahli keluarga besar mereka setelah mengambil kira kejadian yang berlaku sedikit sebanyak telah menggores hati seorang ibu.

“Ini sekatan bersifat sementara, iaitu sehinggalah Al Fadhil Ustaz Nik Omar mendapat restu bondanya.

“Saya juga mengesahkan tular berkaitan pengakuan kakanda saya bahawa beliau disekat daripada menjadi imam solat lima waktu dan sebagai tenaga kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Nik Omar memaklumkan beliau tidak lagi dibenarkan meneruskan rutinnya, menjadi imam, memberi kuliah dan mentahnik di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka itu.


Bagaimanapun, Nik Abduh berkata, setakat hari ini, hubungan kekeluargaan masih terjalin dan berjalan seperti biasa yang mana setiap hujung minggu semua ahli keluarga akan berkumpul untuk makan malam di rumah bersama bonda.

“Kami adik-beradik sentiasa mendoakan ‘al rusyd’ untuk beliau. Kami kenal beliau sebagaimana beliau kenal kami berbanding orang lain. Apatah lagi bonda kami sendiri. Dalam sebuah masyarakat yang bebas isu ini mungkin kecil.

“Tetapi dalam keluarga kami yang telah diasuh dengan didikan agama oleh datuk dan ayahanda kami, mentaati bonda adalah lebih besar daripada restu lima atau 10 juta rakyat Malaysia. Ibu takkan tewas di sisi Allah SWT. Ibu adalah hujah Allah SWT di muka bumi ke atas anak-anak,” katanya.


Tiada ulasan: