Rabu, 16 Mei 2018

Laporan audit 1MDB konsisten dengan siasatan DOJ

Nigel Aw 

   
Laporan audit negara berhubung 1MDB yang kini dikelaskan sebagai dokumen terbuka mempunyai kekurangan perincian kerana keengganan 1MDB menyediakan dokumentasi lengkap.

Namun, bagi bahagian penting yang disiasat, maklumat yang dikemukakan dalam laporan itu konsisten dengan siasatan Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Jabatan Audit, antara lain, meneliti akaun Brazen Sky Ltd yang merupakan syarikat subsidiari 1MDB.

Jabatan itu meneliti penebusan "unit dana" Brazen Sky daripada pelaburan Cayman Islands dengan Bridge Partners International Investment Ltd.

Menariknya, Jabatan Audit mendapati penebusan ke dalam akaun Brazen Sky itu - yang dibuat secara berperingkat dari 5 Sept 2014 sehingga 8 Dis 2014 - dihantar kepada satu lahi syarikat subsidiari, 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL).

Secara keseluruhannya, sejumlah AS$1.392 bilion ditebus ke dalam akaun Brazen Sky, dan AS$1.417 bilion dihantar kepada 1MDB GIL.

"Pemindahan wang hasil penebusan portfolio segregated portfolio company (SPC) daripada Brazen Sky kepada 1MDB GIL didapati tidak mematuhi arahan Lembaga Pengarah 1MDB yang meminta hasil penebusan portfolio SPC dibawa balik ke Malaysia.

"Pemindahan wang tersebut juga tidak dibentang untuk kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Tindakan pihak pengurusan memindahkan wang kepada 1MDB GIL tidak dapat dipastikan justifikasinya kerana 1MDB GIL mempunyai aset pelaburannya tersendiri dengan pengurus dana berjumlah USD1.56 bilion pada 31 Mac 2014," katanya.

Bagaimanapun, gambaran lebih jelas boleh didapati pada pemfailan DOJ yang menyatakan bahawa wang yang dihantar kepada 1MDB GIL akan dikitar semula dan dimasukkan ke dalam akaun Brazen Sky untuk membuat ia kelihatan seperti penebusan.

Jumlah wang yang dinyatakan DOJ berhubung pemindahan wang itu konsisten dengan laporan audit 1MDB.

Tiada ulasan: