Selasa, 22 Mei 2018

Laporan: 11 jam kira 11 beg wang tunai

MALAYSIAKINI

   
KEMASKINI | Polis mengambil masa 11 jam untuk mengira wang tunai daripada 11 beg yang dirampas dalam serbuan di tiga unit kondominium di Pavilion Residences pada Jumaat lepas.

Menurut laporan New Straits Times, 11 beg berkenaan mengandungi jutaan ringgit yang terdiri daripada pelbagai mata wang.

Laporan itu berkata pengiraan bermula pada jam 10 pagi hingga 9 malam hari ini dan masih ada 15 beg mengandungi wang tunai belum dikira.

Menurut laporan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan proses pengiraan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Jumaat lepas, polis menyerbu tiga unit kondominium yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB.

Polis merampas 72 beg wang tunai dan barang kemas serta 284 kotak yang berisi beg tangan berjenama.

Laporan itu berkata 26 daripada 72 beg telah dibawa ke Menara 238 di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi ibu pejabat JSJK untuk proses pengiraan.

Oleh kerana hanya wang tunai daripada 11 beg dikira, laporan itu berkata baki 15 beg akan dipindahkan ke Bukit Aman untuk disimpan.

Beg mengandungi wang tunai yang telah dikira telah dihantar kepada Bank Negara untuk pengiraan semula, kata laporan itu.

"Proses ini amat membosankan kerana pegawai polis JSJK perlu merekodkan nombor siri setiap wang kertas.

"Satu lagi faktor yang memanjangkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan proses itu kerana terdapat beberapa mata wang yang berbeza," kata laporan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan NST secara bebas.

Tiada ulasan: