Jumaat, 11 Mei 2018

Kubu Umno runtuh, 26 kerusi Parlimen Felda dimenangi PH, Pas



Kubu Umno runtuh, 26 kerusi Parlimen Felda dimenangi PH, Pas



Sejumlah 26 daripada 52 kerusi Parlimen Felda di Semenanjung dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Pas sekali gus meruntuhkan kubu Umno sebelum ini.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, sasaran pihaknya untuk sekurang-kurangnya memperoleh kemenangan di 20 kerusi Felda sudah tercapai.

“Ia suatu sejarah baru, yang membuktikan pengundi Felda berani melakukan perubahan.

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan, dukungan dan sumbangan semua pihak dalam memastikan kemenangan PH di kawasan Felda,” ujarnya mengulas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau memberitahu paling banyak kerusi Parlimen Felda yang dikuasai PH adalah Johor iaitu Pagoh, Sekijang, Labis, Segamat, Simpang Renggam, Kulai, Ledang dan Tebrau.

Di negeri pembangkang BN, Pahang, tiga kerusi Parlimen Felda dikuasai PH iaitu Bentong, Raub dan Temerloh.

Sementara itu, di Terengganu, terdapat empat kerusi Parlimen Felda dimenangi Pas yang kini mengemudi kerajaan negeri iaitu Kemaman, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus.

Mazlan Aliman ketika berceramah di hadapan warga Felda di Ulu Tebrau, Januari lalu.


Di Melaka, Parlimen P135 Alor Gajah yang mempunyai tiga kawasan Felda menyaksikan calon PH menerusi PKR, Mohd Redzuan Md Yusof menang dengan majoriti 6,980 undi.

Dua kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Tampin dijuarai PH dengan majoriti masing-masing 200 dan 1,002 undi.
Di Selangor pula, kawasan Felda di hulu dan kuala negeri itu juga dimenangi PH. Calon PKR P94 Hulu Selangor, Leow Hsiad Hui mendapat majoriti 13,391 undi manakala calon AMANAH P96 Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menang 8,498 undi.
Situasi sama juga berlaku di Perak melibatkan kerusi Parlimen Sungai Siput dan Tanjong Malim dengan masing-masing majoriti lebih 5,000 undi.

Tsunami warga Felda di utara Kedah pula menyaksikan kerusi Parlimen P6 Kubang Pasu dimenangi calon PKR, Amiruddin Hamzah dengan majoriti 13,009 undi.

Di selatan Kedah, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga menang di kerusi P18 Kulim-Bandar Baharu dengan majoriti 4,860 undi. Dua lagi kerusi Parlimen di Kedah yang mempunyai penempatan Felda dimiliki Pas iaitu Pendang dan Sik.

Untuk rekod, BN pada PRU-13 lalu hanya tewas dua kerusi Parlimen Felda iaitu di Raub dan Dungun masing-masing kepada DAP dan Pas.

Terdapat 54 kerusi Parlimen dan 92 Dun termasuk di Sabah merangkumi penempatan Felda dengan kira-kira 570,000 pengundi terdiri daripada warga tanah rancangan itu di seluruh negara.

Tiada ulasan: