Khamis, 31 Mei 2018

Kos mungkir perjanjian halang Malaysia batalkan ECRL



Kos mungkir perjanjian halang Malaysia batalkan ECRL
Sukar bagi Malaysia untuk bertegas menghentikan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM66 bilion yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
MALAYSIA mungkin tidak dapat mengambil langkah tegas terhadap projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM66 bilion sama seperti tindakan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menurut sumber kerajaan, pembatalan projek landasan dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor di Kelantan lebih rumit kerana perjanjian bagi fasa 1 projek bernilai lebih kurang RM46 bilion sudah ditandatangani dan pinjaman dari Bank Exim di China sudah dikeluarkan.

Membatalkan perjanjian itu akan mengakibatkan perjanjian dimungkiri dan akan memaksa pinjaman itu serta faedahnya dibayar dalam masa tiga bulan daripada pembatalan, kata sumber yang maklum dengan perjanjian yang termeterai antara kerajaan Najib dan China Communications Construction Company Ltd.

Malah kalau pentadbiran Dr Mahathir mencabar kesahihan perjanjian tersebut, proses litigasi akan memakan masa bertahun-tahun serta menjejaskan hubungan dua hala – sesuatu yang mahu dielak oleh Putrajaya dan Beijing.

Selain fasa 1 projek ECRL, perjanjian yang sudah ditandatangani termasuk:
  1. Sambungan landasan ke Pelabuhan Klang bernilai lebih kurang RM9 bilion.
  2. Sambungan landasan ke Pengkalan Kubor bernilai RM1.3 bilion.
  3. Naik taraf sistem landasan kepada landasan berkembar bernilai RM10.5 bilion.
Sejak memegang jawatan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keutamaan pentadbirannya ialah menangani RM1 trilion hutang negara. Strategi utama mengurangkan hutang itu ialah dengan membatalkan projek berkos tinggi.

Dr Mahathir dan Daim Zainuddin yang menerajui Majlis Penasihat Kerajaan sudah menegaskan hasrat kerajaan untuk menghentikan projek ECRL, atau sekurang-kurangnya merundingkan semula terma perjanjian.

Bagi pihaknya, Beijing juga sudah menyuarakan pandangannya mahu meneruskan hubungan dua hala yang baik dengan Malaysia.

Duta China, Bai Tian mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan Majlis Penasihat Kerajaan.

Malaysia memahami bahawa ECRL adalah salah sebuah projek utama China di bawah projek besar One Belt One Road dan ia mengesan kesediaan Beijing untuk mencapai tolak ansur berkenaan kos landasan kereta api itu.

Difahamkan sebagai permulaan, sejumlah stesen di laluan ECRL akan dikurangkan. Kebanyakan stesen itu tersenarai kerana pertimbangan politik.

Satu lagi pilihan penjimatan kos ialah menyusun semula sebahagian laluan berkenaan.

Sekiranya langkah penjimatan yang dikemukakan oleh China dilaksanakan, ia boleh mengurangkan kos ECRL antara RM5 hingga RM10 bilion.


Tiada ulasan: