Isnin, 14 Mei 2018

KES RASUAH PEMIMPIN PH DIKAJI SEMULA – GUAN ENG


Wartawan Watan-Online



Menteri Kewangan baru, Lim Guan Eng enggan mengulas soalan mengenai perbicaran kes pembelian rumah banglonya yang telah bermula pada Mac lalu, berkata “ia adalah subjudis”.

Lim berkata banyak kes perlu dikaji semula, membayangkan kesnya, yang dikaitkan dengan pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang, juga akan melalui proses yang sama.
Perbicaraan kes tersebut akan bersambung semula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Sebagaimana yang dikatakan (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (Tan Sri Zulkiflee Ahmad) akan digantikan atas sebab yang cukup jelas.

“Kami perlu mengkaji semula kes-kes ini dengan teliti, jika ia bermotifkan politik terhadap ahli-ahli politik pembangkang (sebelum PRU14),” kata Lim.

“Kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei yang berjaya membentuk kerajaan baru setelah merampas Putrajaya daripada BN juga sama dengan penghakiman rakyat atas kesahihan dan kebolehpercayaan terhadap kes-kes sebegini, bukan saja terhadap saya tetapi juga kepada orang lain,” kata beliau yang dipetik sebuah portal berita.

Walaupun timbul persoalan mengenai perkara itu, bekas menteri kewangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani percaya Lim masih tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikannya bersalah.

Selaku Setiausaha Agung DAP, Lim turut ditanya berkenaan dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata pelantikan pemimpin tertinggi BERSATU, DAP dan PAN sebagai menteri kanan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa rundingan dengan PKR.

“Soalan lain, please,” kata Lim bersambut tawa daripada sidang akhbar yang dihadiri ramai pemberita, di tingkat 28 bangunan Komtar, Pulau Pinang.

Tiada ulasan: