Selasa, 22 Mei 2018

KES RASUAH GUAN ENG DISEBUT SEMULA 30 JULAI




Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula pada 30 Julai depan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas peguam kedua-dua tertuduh membuat permohonan untuk menjalankan proses representasi ke atas kes terbabit.

Menurut Hadhariah, mahkamah tidak boleh menghalang permohonan peguam tertuduh yang mahu membuat representasi kepada Peguam Negara baharu yang dijangka dilantik Julai depan.

Sementara itu, peguam Guan Eng, Ram Karpal Singh berkata, pihaknya berharap menerusi proses representasi berkenaan pertuduhan ke atas anak guamnya dapat digugurkan.

“Kami tetap berpendirian pertuduhan itu adalah bermotifkan politik dan memandangkan terdapat perubahan sekarang (Kerajaan Persekutuan), kami berharap Peguam Negara akan pertimbangkan permohonan kami secara adil.

“Tetapi sekiranya tidak diterima, kami bersedia untuk meneruskan pertuduhan (kes),  tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada prosiding pagi ini, Guan Eng diwakili peguam Ram Karpal Singh dan RSN Rayer manakala Phang diwakili Datuk V Sithambaram dan Rueben Kumar dan pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud.

Bagaimanapun, Guan Eng dan Gobind tidak hadir pada sesi pengurusan kes hari ini kerana bakal mengangkat sumpah pelantikan sebagai Menteri yang dijadual petang ini.

Sementara itu, Masri menegaskan, pihaknya bersedia meneruskan proses perbicaraan kes terbabit namun enggan mengulas mengenai proses representasi yang dipohon peguam tertuduh.

Sebelum ini, perbicaraan kes rasuah Guan Eng bersama Li Koon ditangguhkan bagi membolehkan Menteri Kewangan yang dinamakan itu membuat persediaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.


Tiada ulasan: