Isnin, 14 Mei 2018

Kerajaan P Pinang janji beri pembangkang peruntukan RM40,000

 
Chow Kon Yeow berkata, jumlah peruntukan itu mungkin dinaikkan kemudian.


Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, salah seorang adun pembangkang akan dipilih sebagai ketua Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri. (Gambar Facebook)


GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berjanji akan meneruskan amalan memberi peruntukan tahunan sebanyak RM40,000 kepada wakil rakyat pembangkang.

Jumlah peruntukan itu mungkin dinaikkan lagi tahun ini.

Katanya, sejak 2 penggal lalu, adun Barisan Nasional (BN) enggan mengambil sebarang wang dari kerajaan negeri kerana mendakwa pemberian itu “tidak ikhlas”.

“Kami harap mereka akan menerimanya kali ini demi rakyat dan tidak menolaknya seperti dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar hari ini.

Sebelum ini, adun pembangkang di Pulau Pinang enggan menerima peruntukan kerajaan negeri kerana satu daripada syaratnya ialah mereka perlu menghadiri mesyuarat exco negeri.

Wakil rakyat pembangkang juga enggan menerima sebarang peruntukan kerana mereka boleh mendapat dana daripada kerajaan persekutuan pimpinan BN sebelum ini.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Pakatan Harapan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan, menjadikan ahli Parlimen BN sebagai wakil rakyat pembangkang.

Chow berkata, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkasakan adun pembangkang dengan memilih seorang wakil untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri.
Buat masa ini, terdapat 3 adun pembangkang, 2 daripada BN dan 1 daripada PAS.

Beliau berkata sedemikian selepas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, beliau tidak akan memberi peruntukan kepada adun pembangkang negeri itu.

Osman berkata, beliau berbuat demikian kerana kerajaan BN sebelum ini menafikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian mengesahkan kawasan yang dimenangi wakil rakyat pembangkang di Johor akan mendapat peruntukan untuk projek infrastruktur.

Tiada ulasan: