Jumaat, 4 Mei 2018

KAJIAN INVOKE `TAK BOLEH PAKAI’ – ROSLAN SHAHIR




PAS menyifatkan hasil kaji selidik Invoke Malaysia (Invoke) bahawa orang Melayu menolak PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan kajian yang ‘tidak boleh pakai’.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pusat kajian yang diterajui Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu bersifat berat sebelah, sekali gus menghasilkan laporan yang tidak berkredibiliti.

“PAS boleh katakan kajian Invoke ini syok sendiri untuk menghiburkan diri mereka sendiri. Invoke mendakwa sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) meningkat sedangkan hakikatnya sokongan terhadap mereka semakin menurun.

“Kalau telah terang-terang Rafizi di belakang Invoke, sudah tentu kajian menjadi tidak adil. Entah turun ke lapangan atau tidak buat kajian. Silap-silap hanya duduk dalam bilik penghawa dingin, buat kajian atas meja dalam bilik, lepas itu keluarkan rumusan kajian,” katanya kepada Watan Online, pada Jumaat.

Roslan berkata, Invoke perlu lebih realistik dalam membuat sebarang kajian dan tidak boleh ‘syok sendiri’ apabila mengeluarkan data yang diperoleh.

“Sepanjang kempen PRU-14, saya dapati orang Cina dan India datang dalam program calon PAS. Sebab itu, PAS Selangor yakin akan mendapat sekurang-kurangnya 20 peratus undi Cina dan 40 peratus undi India.

“Rafizi berpijak lah di bumi nyata. Kenapa PH takut sangat dengan PAS? Ini bermakna mereka sedar kekuatan PAS sebab PAS mempunyai kekuatan akar umbi, bukannya sekadar di permukaan,” katanya.


Tiada ulasan: