Sabtu, 26 Mei 2018

JHO LOW ADA KAITAN DENGAN PETROSAUDI – JUSTO



Xavier Andre Justo menegaskan, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low sememangnya mempunyai kaitan dengan skandal membabitkan 1MDB.

Memetik temubual eksklusif bersama The Star, Justo seorang warganegara Switzerland juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd berkata, dia telah menemui Jho Low sebanyak dua kali bagi membincangkan mengenai 1MDB atau PetroSaudi International.

Sebelum ini terdapat bukti yang mendedahkan, daripada perbelanjaan awal AS$1 bilion (RM3.9 bilion) yang dipindahkan ke PetroSaudi, sejumlah AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun milik sebuah syarikat dikenali sebagai Good Star, syarikat dikendalikan Jho Low sebagaimana dimaklumkan dalam kertas siasatan.

Mengulas lanjut, Justo berkata, dia mula mengesyaki sesuatu selepas menyedari sejumlah besar wang dikendalikan dan PetroSaudi mendapat komisen tinggi.

“(Pegawai tertinggi PetroSaudi) Tarek Obaid dan Patrick Mahony mempunyai akses kepada angka sebenar tetapi saya tahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Terdapat komisen dalam perniagaan minyak. Itulah caranya dan tidak perlu menjadi naif. Perniagaan minyak bermakna rasuah,” katanya dalam temubual eksklusif itu, pada Khamis.

Justo berkata bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya mengambil komisen antara satu hingga lima peratus, namun adalah pelik untuk mengambil lebih 80% sebagai komisen dalam urusniaga tersebut.

Malah Justo berkata dia juga terkejut apabila skandal itu boleh menjadi semakin panas dan merebak daripada PetroSaudi, kepada syarikat lain di Timur Tengah.

“Ia sukar dipercayai bagaimana sikap tamak individu-individu tersebut. Mereka benar-benar berpendapat apa sahaja yang ada di dalam bank pusat Malaysia adalah milik mereka,” ujarnya.

Justo berkata dia menyimpan fail dari PetroSaudi ynag diperolehi kerana mahu menuntut wang yang sepatutnya dibayar syarikat tersebut kepadanya.

Bagaimanapun katanya fail-fail berkenaan kemudian didedahkan sehingga mencetuskan siasatan terhadap skandal rasuah terbesar di dunia.

Menurut Justo lagi, fail itu diserahkan kepada pemilik The Edge Communications, Tong Kooi Ong menerusi Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown selepas yakin terhadap keikhlasan dan motivasi mereka untuk mendedahkan skandal 1MDB.

“Pada awalnya sudah tentu saya kata saya mahukan wang. Saya boleh menjual fail tersebut untuk mendapatkan banyak wang. Saya hanya menuntut wang ‘hutang’ PetroSaudi terhadap saya.

“Saya hanya mahu kesemua mereka, bermula dari yang pertama sehingga individu terakhir dihukum kerana kesalahan jenayah mereka,” katanya.

Namun menurutnya, ianya bukan semata-mata kerana wang.

“Bukan sahaja mengenai wang yang mereka curi. Wang itu sepatutnya digunakan demi pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak, bukan untuk beg mewah, bot, jet dan pelacur,” katanya kepada The Star.

Malah Justo juga mendedahkan, lebih teruk lagi, pihak berkenaan bukan sahaja membuat ugutan malah menyebabkan kehilangan nyawa.

“Saya telah dihantar ke penjara. Mereka juga mengugut isteri saya untuk dipenjara dan menghantar anak lelaki saya ke rumah anak yatim. Mereka perlu ‘membayar’ semua itu,” katanya yang telah dipenjarakan selama tiga tahun di Thailand.

Justo turut mendakwa pentadbiran Najib berkomplot dalam menghantarnya ke penjara.

“Saya tidak pernah disabitkan dengan apa-apa (kesalahan). Saya seorang pegawai bank, saya tidak mahu ia berlaku, namun jika orang fikir saya lelaki jahat, biarlah.

“Namun jika orang fikir saya adalah wira, saya bukan seorang wira. Wira sebenar adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Malah Justo kehidupan kini lebih baik tetapi pengalaman itu telah mengubah kehidupannya.

“Semuanya baik-baik sahaja. Percayalah, saya sudah biasa menjalani taraf kehidupan yang tinggi.

Sekarang saya tidak ambil peduli lagi. Saya hanya mahu bersama rakan-rakan dan keluarga,” katanya kepada The Star.


Tiada ulasan: