Ahad, 13 Mei 2018

Gugur status rahsia laporan 1MDB dipuji, peguam mahu kes dibuka semula

 
Peguam Syahredzan Johan memuji keputusan kerajaan menggugurkan status rahsia laporan siasatan 1MDB dan mencadangkan kes itu dibuka semula jika ditutup.


Syahredzan mencadanglan laporan itu dijadikan umum agar orang ramai boleh menilai sendiri laporan itu.


PETALING JAYA: Peguam memuji tindakan kerajaan menggugurkan status rahsia laporan siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB.

Syahredzan Johan mencadangkan laporan itu dijadikan umum agar orang ramai boleh mengakses dan menilai sendiri laporan audit ke atas syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

“Ini (gugur status rahsia) memang satu perkara yang kami alu-alukan dan kita harap bukan setakat gugurkan status Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu sahaja, tapi buatkan laporan tersebut umum untuk tatapan umum supaya umum boleh baca, buat keputusan tentang laporan audit tersebut,” katanya

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan status rahsia laporan siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB digugurkan dan polis menghantar laporan itu kepadanya untuk diteliti.

Laporan audit dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara susulan kontroversi tentang kewangan dan pelaburan 1MDB, yang dikatakan mengalami kerugian RM42 bilion.

Laporan itu dikelaskan bawah OSA pada 2016 dan para Ahli Parlimen hanya dibenarkan mengkaji laporan itu tetapi tidak boleh mendedahkan butirannya.

Syahredzan mencadangkan kerajaan mengarahkan kes 1MDB dibuka semula jika sudah ditutup.

Beliau menambah sekarang amat penting untuk bekerjasama dengan negara-negara lain yang turut menyiasat kes berkaitan 1MDB.

“Itu yang sepatutnya dilakukan sekarang supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada muka pengadilan,” katanya.

Seorang lagi peguam, Eric Paulsen berkata langkah kerajaan wajar dipuji kerana tidak pernah dalam sejarah laporan ketua audit negara dirahsiakan.

“Kita semua tahu ini adalah untuk menutup salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak 1MDB terbabit,” dakwanya.

Menurut pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu, laporan itu boleh diserahkan kepada peguam negara, polis dan Suruhanjaya Rasuah Malaysia untuk diteliti.

“Dan sebagai tambahan kepada kertas siasatan yang telah dibuka, buat keputusan sama ada boleh buat dakwaan atau perlu siasatan lanjut.

“Untuk jangka masa yang lebih panjang, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk mendalami skandal 1MDB dan membuat cadangan. Namun tindakan undang-undang boleh dibuat sekarang,” katanya.

Tiada ulasan: