Jumaat, 25 Mei 2018

Guan Eng: Kerajaan akan lunas semua obligasi hutang 1MDB

 
Menteri kewangan itu berkata, tindakan itu akan meyakinkan pasaran, kerajaan baru tahu apa yang dilakukannya.


Lim Guan Eng berkata, walaupun kerajaan tidak gembira dengan kehilangan wang daripada 1MDB, tetapi mereka akan menghormati kewajipan antarabangsa membayar hutang dana itu.


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membayar hutang 1MDB, walaupun tidak gembira dengan kehilangan wang daripada dana kerajaan itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kami akan melunaskannya, walaupun kami juga tidak gembira dengan 1MDB, tetapi kami akan menghormati kewajipan antarabangsa,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan hari ini.

“Saya rasa ini akan meyakinkan pasaran, kerajaan ini tahu apa yang dilakukannya.”

Semalam, Lim berkata, kerajaan menjamin hutang 1MDB berjumlah RM38 bilion pada akhir 2017.

Kerajaan baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keutamaan kepada usaha menyiasat bagaimana wang itu hilang daripada 1MDB, dan ejen anti-rasuah menyoal siasat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan dana itu 10 tahun lepas.

Najib terus menafikan sebarang salah laku, walaupun banyak dakwaan rasuah ditujukan kepadanya.

Awal minggu ini, Lim berkata, kerajaan Najib tidak memberitahu kebenaran kepada rakyat dan Parlimen mengenai kedudukan kewangan negara dan 1MDB, serta kerajaan menyelamatkan dana itu yang dibebani hutang dengan membayar RM6.98 bilion sehingga kini.

Tiada ulasan: