Ahad, 13 Mei 2018

Gobind gesa peguam negara letak jawatan

MALAYSIAKINI




Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh menggesa Tan Sri Mohamad Apandi Alu meletakkan jawatan sebagai peguam negara kerana jawatannya sudah tidak dapat dipertahankan.

"Perdana menteri menyatakan beliau tidak mempunyai keyakinan pada beliau dengan mengatakan bahawa ketika ini tiada peguam negara," kata Gobind dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Gobind, antara contoh ketidakyakinan itu adalah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendirian peguam negara bahawa tiada asas untuk siasatan skandal 1MDB tidak boleh diterima.

Apandi pada 2016 membersihkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan berhubung berbilion ringgit yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya meskipun siasatan antarabangsa mendakwa ia adalah sebahagian daripada dana 1MDB.

Najib menafikan sebarang penyelewenagan untuk kepentingan peribadi dan mendakwa ia adalah "derma" daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.

"Saya berpendapat sukar, kalaupun bukan mustahil untuk Apandi kekal sebagai peguam negara.

"Menjadi tugas perlembagaan peguam negara untuk beliau antara lain menasihati perdana menteri dan bertindak sebagai pendakwa raya.

"Apandi kini tidak layak menasihati perdana menteri kerana perdana menteri menyatakan ketidakyakinan terhadapnya.

"Justeru saya fikir jawatan Apandi sebagai peguam negara sudah tidak dapat dipertahankan. Dalam situasi ini beliau perlu meletakkan jawatan," katanya.

Tiada ulasan: