Jumaat, 18 Mei 2018

Firma guaman tarik diri daripada wakili 1MDB dalam saman libatkan Rosmah

ASTRO AWANI

Firma guaman tarik diri daripada wakili 1MDB dalam saman libatkan Rosmah
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB memberitahu Tan Hock Chuan & Co telah memohon untuk menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB. -- fotoBERNAMA
 
 
KUALA LUMPUR: Firma guaman yang mewakili 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di dalam saman bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai  US$27.3 juta yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, telah menarik diri daripada mewakili  1MDB. 

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB memberitahu wartawan bahawa firma guaman itu, Tan Hock Chuan Co telah memohon untuk menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami... pada masa ini 1MDB tidak mempunyai peguam, tetapi kami akan memaklumkan syarikat berkenaan,” katanya kepada wartawan selepas bertemu dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad  Zaidi Ibrahim dalam kamar pada Khamis.

Sementara itu peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin berkata mahkamah telah menangguhkan  pendengaran yang dipohon defendan, Rosmah, Low Taek Jho atau Jho Lo dan 1MDB untuk membatalkan  saman Khairuddin, ke 21 Jun untuk pengurusan kes bagi pihak terlibat mengemas kini status masing-masing.

Tiada ulasan: