Rabu, 16 Mei 2018

Dr M: Kaedah tetap harga minyak mingguan dimansuhkan

 
Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memberi subsidi untuk menampung kenaikan harga minyak mentah dunia.


Dr Mahathir mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemansuhan mekanisme pengumuman harga petrol dan diesel setiap Rabu di bawah sistem apungan terurus yang diamalkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, harga petrol dan diesel dikekalkan seperti sebelum ini dan kerajaan akan memberi subsidi untuk menampung kenaikan harga minyak mentah dunia.

“Harga minyak tidak akan naik dan tidak akan turun. Kalau tidak cukup, kerajaan akan beri subsidi,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Ini bermakna, petrol RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter, RON97 (RM2.47) dan diesel (RM2.18). Ini adalah harga sejak 22 Mac lalu.

PH menerusi manifesto pilihan raya umumnya berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi secara bersasar dalam 100 hari pentadbiran.

Mulai 29 Mac 2017, harga petrol dan diesel yang ditentukan sistem apungan terurus, diumumkan secara mingguan pada setiap Rabu berbanding setiap bulan.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.


Tiada ulasan: