Ahad, 20 Mei 2018

Bung Moktar: Dipersilakan keluar, jika tak mahu bersama BN

 
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ia bertujuan mengelakkan wujud musuh dalam selimut.


Bung Moktar meminta parti komponen yang berhasrat meninggalkan BN supaya berbuat demikian seawal mungkin. (Gambar Twitter)


KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu bersama gabungan itu supaya keluar secepat mungkin bagi mengelakkan wujud musuh dalam selimut.

“Umno masih kukuh di akar umbi yang menjadi tulang belakang BN. Kita boleh lihat parti lain tidak menyumbang apa-apa, jadi apa ‘point’ mereka kekal dengan kita?

“Lagi baik mereka tinggalkan BN seawal mungkin supaya kita tidak ada musuh dalam selimut,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Tanpa memetik nama parti komponen BN, beliau mengulas kebimbangan perpecahan bakal berlaku dalam BN ekoran kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tiada paksaan dalam perkara itu.

“Kita tidak minta sesiapa keluar, tapi siapa yang mahu bersama kita akan teruskan, siapa yang mempunyai hasrat nak keluar, dipersilakan.

“Walaupun kita akan jadi kumpulan yang kecil, sekurang-kurangnya kita kuat akan bantu kemenangan parti.”

Mengulas peletakan jawatan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam Umno dan BN, Bung menjangkakan lebih ramai pemimpin parti itu mengambil tindakan sama.

“Saya rasa ramai lagi akan berbuat demikian. Saya dengar sebelum ini ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (akan mengambil tindakan sama dengan) Dr Helmi. Tapi ia tidak ada masalah kerana pemimpin datang dan pergi, namun parti mesti diteruskan.”

Dr Hilmi mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno dan BN berkuat kuasa semalam, susulan kekalahan teruk parti itu pada 9 Mei lalu.

Letak jawatan Felcra akhir Mei

Sementara itu, Bung mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra Berhad).

Katanya, surat peletakan jawatan itu akan diserahkan akhir bulan ini.

“Saya akan menghantar surat peletakan jawatan insya Allah hujung bulan ini.”

Semalam, Majlis Penasihat Kerajaan menemui Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md Eusope hampir sejam bagi membincangkan operasi serta prestasi badan berkanun itu.

Tiada ulasan: