Jumaat, 4 Mei 2018

BN palu gendang perang psikologi dengan video baru

 
Ini jawapan BN kepada gambar peserta acara Pakatan Harapan yang tular di dalam talian.
 
 
 


KUALA LUMPUR: Satu video Barisan Nasional menguatkan paluan gendang perang gabungan itu menuju hari pengundian minggu depan, ketika perang psikologi antara parti-parti politik memuncak di media sosial.

Ucapan oleh Datuk Seri Najib Razak di pelancaran manifesto BN melatari video itu, menggesa para penyokong memastikan kemenangan menghadapi salah satu pertarungan pilihan raya paling sengit dalam beberapa dekad ini.

Melampirkan gambar ribuan penyokong BN di bandar-bandar serata negara, video itu menjawab gambar kebanjiran peserta di acara-acara Pakatan Harapan yang tular beberapa hari lalu.

“Pakatan Harapan mengatakan yang rakyat sudah menolak Barisan Nasional. Mari kita tonton video ini dan nilaikan sendiri,” tertera satu pesanan di permulaan video itu.

“Marilah kita semua bersatu hati gantungkanlah azam. Genggam erat semangat dan cita-cita yang tinggi setinggi bintang kejora di langit pada persimpangan yang muktamad ini,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam video itu.

“Bak resmi pendekar dulu kala pabila keris sudah tersisir di pinggang, pabila selempang sudah terletak di badan, pantang undur pendekar berulang.

“Perang kali ini kita lawan habis-habisan, perang kali ini kita mesti menang.”

Pimpinan tertinggi PH seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dari PPBM dan Mohamad Sabu dari Amanah antara tarikan yang bercakap kepada pengundi bandar dan luar bandar sejak beberapa minggu ini. Ucapan mereka disiarkan secara langsung di Facebook, dengan gambar udara diambil dari dron dan dikongsi di media sosial bagi menarik sokongan kepada pembangkang.

Gambar peserta acara menjadi senjata kegemaran parti-parti politik dalam perang psikologi di media sosial.

Semalam, veteran Umno dan pengkritik parti itu, Tan Sri Rais Yatim berkongsi gambar himpunan PH di Putrajaya dan Kelantan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: