Ahad, 13 Mei 2018

Berita palsu akan diberi takrifan jelas, kata PM

MALAYSIAKINI

   
Undang-undang antiberita palsu akan diberi takrifan yang jelas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Undang-undang berita palsu akan diberi definisi yang jelas dan syarikat berita akan faham apa yang dikatakan (sebagai) berita palsu dan bukan," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di RTM hari ini.

Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengambil tindakan kepada organisasi berita walaupun menyiarkan berita yang tidak memihak kepada kerajaan, selagi ia bukan bertujuan untuk mencetuskan huru-hara.

"Sebarang usaha untuk mencetuskan rakyat agar berkelahi dan (suasana) tegang tidak akan dibenarkan.

"Tetapi kalau mereka buat laporan, walaupun yang tak senang didengar kerajaan, mereka bebas (dan) tidak ada tindakan...Asalkan laporan berasas," katanya.

"Walaupun kita sokong konsep kebebasan akhbar dan bersuara tetapi ada hadnya. Jika sengaja cuba cetuskan huru-hara, itu akan dihadapi (dengan) undang-undang khusus," kata pengerusi BERSATU itu lagi.

Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas sama ada kerajaan akan memansuh atau meminda Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan kerajaan sebelum ini, atau merangka undang-undang baru.

Sebelum ini, beliau pernah berkata HARAPAN akan memansuhkan undang-undang akta antiberita palsu, yang dikritik hebat ketika itu, jika HARAPAN berjaya mentadbir kerajaan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: