Isnin, 14 Mei 2018

Bekas IGP tak tahu jika namanya disenarai hitam imigresen

MALAYSIAKINI

   

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar belum dimaklumkan sekiranya namanya telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan senarai kedua nama yang disenarai hitam itu telah diberikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menunggu kelulusannya.

Sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa individu berkenaan disenarai hitam berkaitan 1MDB dan kes-kes lain yang disiasat oleh pentadbiran baru.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa beliau tidak pasti sama ada namanya berada dalam senarai.

Pada masa yang sama, Khalid berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika kerajaan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal 1MDB.

"Saya ditugaskan untuk bekerjasama. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan oleh itu tidak ada isu saya tidak bekerjasama jika RCI terbentuk,"katanya.

Khalid merupakan salah seorang anggota pasukan petugas khas yang meneliti kemasukan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta isu membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Selain beliau, tokoh lain dalam pasukan itu ialah bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas ketua pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Bagaimanapun, Abdul Gani kemudian digantikan atas sebab-sebab kesihatan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pada ketika itu turut tersebar draf pendakwaan yang dikatakan dirangka terhadap Najib, yang kemudian dinafikan kerajaan pada masa itu sebagai palsu.

Najib menafikan menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Apandi turut mengesahkan perkara itu dan membersihkan Najib dari sebarang salah laku..

Bagaimanapun, siasatan antarabangsa mendapati wang itu berasal dari 1MDB.

Tak bimbang

Sementara itu, Khalid, yang bersara tahun lalu dan kini mengetuai Prasarana, berkata beliau bertindak mengikut undang-undang dalam melaksanakan tugasnya dan oleh itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Sepanjang tempoh saya sebagai IGP, saya mengikut undang-undang. Jadi saya tidak bimbang tentang sebarang siasatan yang akan dilakukan," katanya.

Sebelum ini, bekas ketua polis negara itu didakwa antara mereka yang berusaha menutup skandal 1MDB. Namun beliau dan kerajan menafikannya.

Sabtu lalu, Malaysiakini mendedahkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dihalang ke luar negara.

Ini selepas jadual penerbangan mereka tular di media sosial dan berita yang mendakwa bekas Perdana Menteri akan menaiki pesawat peribadi ke Indonesia.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber yang rapat dengan Najib berkata kedua-dua mereka mahu bercuti selama dua hari keluar negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengesahkan beliau telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menyenaraihitamkan Najib.


Tiada ulasan: