Isnin, 14 Mei 2018

Bekas IGP: Saya sedia disiasat isu 1MDB

MALAYSIAKINI

   

Bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakr berkata beliau bersedia disiasat berhubung skandal 1MDB.

"Saya masih bertugas dan saya sedia menawarkan kerjasama penuh berhubung sebarang isu termasuk proses siasatan yang melibatkan saya," katanya dipetik NST.

Khalid dilantik sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Sdn Bhd hujung tahun lalu selepas bersara sebagai ketua polis.

Beliau merupakan sebahagian daripada unit khas siasatan yang menyiasat berbilion ringgit yang didepositkan dalam akan bank peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, selain isu berhubung skandal 1MDB.

Siasatan antarabangsa mempercayai bahawa wang berkenaan berpunca dari dana 1MDB namun Najib menafikannya dan mendakwa ia adalah "derma" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi.

Ketika siasatan sedang berjalan, pegawai SPRM yang menyiasat skandal 1MDB ditahan polis sementara beberapa yang lain dipindahkan.

Peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail juga disingkirkan dan diganti dengan bekas hakim mahkamah rayuan Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

BN yang diterajui Najib tewas pertama kali selepas 61 tahun parti itu memerintah Malaysia kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Najib telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN dan kini dihalang keluar negara.


Tiada ulasan: