Rabu, 16 Mei 2018

Bekas datuk bandar KL Elyas Omar meninggal dunia

 
Elyas, 82, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 7.15 malam tadi.





KUALA LUMPUR: Bekas datuk bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar meninggal dunia di Institut Jantung Negara hari ini.

Elyas, 82, merupakan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 hingga 1993 dengan rekod kejayaan membantu negara menjulang Piala Thomas pada 1992.

Menerusi catatan di laman sosial Facebook, anak saudaranya, Syahril A. Kadir berkata Elyas menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 malam.

“Dengan rasa sedih, ingin saya maklumkan pakcik saya yang juga bekas datuk bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pukul 7.15 petang tadi. Al Fatihah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan menguruskan pengebumian Elyas namun lokasi dan masa pengebumian belum ditentukan lagi.

Elyas, yang dilahirkan di Pulau Pinang, menjadi datuk bandar Kuala Lumpur yang ke-3 pada 1 November 1981 sehingga 17 Septemper 1992 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada 6 Januari 2005 dan memegang jawatan itu sehingga 14 April 2008.

Kenalan rapat Elyas, Datuk Seri Azman Ujang, yang juga pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata kali terakhir beliau bertemu Elyas pada awal tahun ini.

“Selepas pertemuan terakhir itu, kami tidak lagi bertemu. Bagaimanapun, kami sering berhubung melalui telefon. Sejak akhir tahun lepas, kesihatan beliau semakin merosot akibat masalah jantung yang dihadapinya.

“Ia satu kehilangan besar buat negara dan jasa beliau dalam membangunkan bandar Kuala Lumpur akan sentiasa dikenang,” katanya.

Menyentuh tentang minat Elyas terhadap sukan badminton, Azman berkata bekas presiden BAM itu mengharapkan kegemilangan sukan badminton negara akan terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Tiada ulasan: