Rabu, 16 Mei 2018

Anwar dibebaskan esok

 
Anwar akan dibebaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras selepas perbincangan dengan lembaga pengampunan dimuktamadkan, kata Nurul Izzah Anwar.
 
 
Anwar dijangka menyertai himpunan esok malam di Padang Timur, Petaling Jaya. (Gambar Reuters)


KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras selepas pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong dimuktamadkan esok, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

“Ia hari yang indah untuk kami dan kami sentiasa berjuang bersama ayah untuk meneruskan reformasi dan keadilan.

“Ini tidak pernah mengenai ayah kami tetapi mengenai melakukan perkara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital, di mana Anwar sedang menjalani rawatan selepas pembedahan.

Ketika ditanya sama ada Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri, Izzah percaya negara layak menerima perdana menteri terbaik.

“Saya akan pastikan perdana menteri memenuhi janji-janji untuk reformasi yang dibuatnya dan kami akan pastikan terdapat semak dan imbang yang sewajarnya.”

Dr Mahathir sebelum ini berkata dia akan kekal sebagai perdana menteri untuk 2 tahun sebelum memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih.

Anwar, 70, sepatutnya dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun kerana berkelakuan baik.

Dia dikenakan hukuman penjara 5 tahun pada 2015 atas tuduhan liwat, tuduhan yang dikatakan penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata Anwar akan dibebaskan dari hospital rehabilitasi esok selepas lembaga pengampuan membuat keputusan.

Saifuddin berkata keadaan kesihatan Anwar tidak menghalang pemimpin PKR itu dikeluarkan dari hospital.

“Dia akan sertai himpunan esok malam di Padang Timur, Petaling Jaya,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: