Khamis, 17 Mei 2018

Ahmad Bashah sah letak jawatan presiden KFA

MALAYSIAKINI


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkuat kuasa semalam.

Timbalan Presidennya, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata susuluan itu, Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar serta Bendahari, Datuk Yusof Ismail turut menghantar surat peletakan jawatan masing-masing hari ini.

Berikutan itu, katanya, pihaknya telah berjumpa dengan Menteri Besar yang baharu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk mencadangkan supaya beliau kembali menerajui persatuan itu.

“Selain itu, dia (Mukhriz) turut bertanyakan mengenai kewangan, perkembangan dan kedudukan pasukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul, Aman di Alor Setar, hari ini.

Syed Unan Mashri berkata Anggota Mesyuarat Eksekutif KFA menyerahkan keputusan tersebut kepada Mukhriz dan dalam masa yang sama berharap beliau dapat mengambil alih jawatan tersebut bagi membolehkan pelantikan dibuat dengan segera.

Katanya, sementara menunggu pelantikan Presiden KFA yang baharu, beliau akan memangku tugas presiden sementara bagi jawatan Setiausaha Kehormat dan Bendahari akan dipikul oleh penolong masing-masing iaitu Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Syed Yussof Syed Othman.

"Menteri Besar tidak secara automatik menjadi Presiden KFA tetapi sekiranya jawatan itu dipegang oleh Menteri Besar ia dapat membantu memperkemaskan lagi perjalanan persatuan kerana kita hendak mencari seseorang yang mampu membantu persatuan dari segi kewangan.

"Sesiapa pun sebenarnya boleh menjadi Presiden KFA tetapi hendak cari penaja dan perbelanjaan itu susah. Tetapi setakat ini kita tidak berdepan sebarang masalah daripada penaja sedia ada seperti ECK Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA)," katanya.

Bagaimanapun, Syed Unan Mashri berkata KFA berterima kasih kepada Ahmad Bashah atas sumbangan membantu memantapkan pasukan Lang Merah sehingga membolehkan pasukan itu berada dalam kelompok pasukan terbaik Liga Super.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KFA sedang cuba mendapatkan khidmat pemain import baharu iaitu bekas pemain import Selangor, Paulo Rangel dan berharap dapat pelepasan secepat mungkin dari kelabnya di Thailand bagi membolehkan beliau dapat diturunkan ketika menentang Pahang di Stadium Darul Aman di sini pada 22 Mei ini.- Bernama


Tiada ulasan: