Selasa, 29 Mei 2018

6 Ogos tarikh dengar permohonan semakan Dr M, Khairuddin

THE NALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Ogos ini untuk mendengar permohonan semakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang yang lain berhubung dakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir dan bekas Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusan awalnya enggan membenarkan mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membatalkan saman itu.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof, ketika pengurusan kes tersebut hari ini.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Dr Mahathir dan Khairuddin, memberitahu pemberita bahawa permohonan semakan difailkan pada 26 April lalu.

Beliau berkata semasa prosiding pengurusan kes, peguam Caleb Gog, yang mewakili Najib, telah memohon lanjutan masa untuk memfailkan afidavit.

Pada 23 Mac 2016, Dr Mahathir, Khairuddin dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Najib dengan mendakwa sebagai perdana menteri (ketika itu), beliau terbabit dengan perbuatan salah laku membabitkan dana pembangunan strategik 1MDB.

Pada 28 April 2017, ketika membenarkan permohonan Najib untuk menolak saman itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Perdana Menteri bukan seorang penjawat awam, tetapi seorang anggota pentadbiran.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir, Khairuddin dan Anina terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman mereka terhadap Najib.

Permohonan Anina untuk kebenaran merayu juga dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu.

Mohamed Haniff berkata permohonan semakan itu difailkan atas dua alasan iaitu terdapat kemungkinan unsur berat sebelah kerana Hakim Tun Md Raus Sharif bersidang dalam panel dan tidak menarik diri berikutan tempoh jawatan beliau sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan selama tiga tahun.

Alasan kedua, katanya, Hakim Raus telah mengguna pakai prinsip salah di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dalam menolak kebenaran untuk merayu.– Bernama

Tiada ulasan: