Isnin, 14 Mei 2018

10 Exco Selangor angkat sumpah hari ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KLANG: 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di Klang hari ini.
 
Barisan itu menampilkan tujuh muka baru manakala tiga daripadanya Exco yang dikekalkan iaitu ADUN Sg Pinang Teng Chang Kim, ADUN Kota Alam Shah Ganabatirao A/L Veraman dan ADUN Sg Tua Amirudin Shari. 
 
Muka baru Exco negeri ialah Haniza Talha (Lembah Jaya), Ng Sze Han (Kinrara) Dr Shaharudin Badarudin (Seri Setia), Hee Loy Sian (Kajang) dan Dr Mariah Mahmud (Seri Serdang). 
 
Turut sama baru menganggotai ialah, Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim (Pandan Indah) dan Pengerusi PPBM negeri Datuk Abd Rasyid Asari. 
 
Tiada wakil ADUN Barisan Nasional mahupun PAS dilantik dalam komposisi pentadbiran kerajaan negeri kali ini. 
 
Semalam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan, sekurang-kurangnya empat muka baru bakal mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri, hari ini.
 
Mereka akan menggantikan tiga wakil PAS yang tidak lagi bersama PH, manakala seorang lagi pengganti Nik Nazmi Nik Ahmad, yang memenangi kerusi Parlimen Setiawangsa pada PRU14.
 
Mandat sebelum ini menyaksikan sepuluh Exco dilantik dengan pecahan empat dari PAS dan masing-masing tiga dari PKR dan DAP.
 
Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Jumaat lalu, secara rasmi memulakan tugasnya jam 7.48 pagi hari ini. 
 
Pada PRU14 baru-baru ini, gabungan empat parti yang mewakili PH kekal menerajui kerajaan negeri apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di Selangor.
 
PKR dan DAP memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, masing-masing 21 dan 18 kerusi, manakala Amanah memenangi lapan daripada 10 kerusi, dan PBBM memenangi enam daripada sembilan kerusi yang dipertaruhkan.
 
 

Tiada ulasan: