Isnin, 16 April 2018

Zahid, Nur Jazlan buat kenyataan tidak patriotik


Roketkini.com

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar pengundi berdaftar yang bekerja di Singapura untuk tidak pulang mengundi pada 9 Mei boleh disifatkan sebagai kenyataan yang tidak patriotik.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN N.30 Paloh, Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan itu seolah-olah menafikan usaha rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak demokrasi mereka pada pilihan raya kali ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa lambakan rakyat kita mencari rezeki di Singapura atas faktor dasar ekonomi yang tidak diurus tadbir dengan sebaiknya di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

“Namun begitu, kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebegini seperti tidak memahami situasi yang kini dihadapi oleh hampir 400,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Sehubungan dengan itu, saya mendesak agar Ahmad Zahid Hamidi untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Selain Zahid, seorang lagi pemimpin UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed turut dilihat cuba meremehkan kempen balik undi kononnya ia merupakan ‘muslihat’ pembangkang.

“Seharusnya, Ahmad Zahid Hamidi, Nurjazlan Mohamed, Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengalu-alukan usaha dan semangat rakyat Malaysia baik yang mengadakan kempen pulang mengundi dan mereka yang bekerja di Singapura untuk meluangkan masa sehari dalam masa lima tahun melaksanakan hak mereka sekaligus menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

“Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya anak jati Johor termasuk orang Paloh, saya menyeru agar dapat pulang mengundi pada 9 Mei nanti. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, PRU14 ini adalah perlawanan antara Pakatan Harapan dan rakyat menentang Barisan Nasional,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: