Rabu, 18 April 2018

Umno bukan parti haram, sah tanding PRU14 - Ku Nan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Umno bukanlah sebuah pertubuhan haram dan tidak sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Ini berikutan katanya, pemilihan Majlis Tertinggi Umno dibenarkan dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.
 
Malah ujar beliau lagi, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah diberi kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa dari 10 Jun 1988.
 
"Perlanjutan masa yang diberikan RoS kepada Umno untuk mengadakan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi Umno bagi tahun 2017 merupakan kuasa tambahan RoS yang telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
 
"Surat Pendaftar Pertubuhan Malaysia bertarikh 31 Oktober 2017 [Rujukan:PPM/WKL251/88 Jld.5(2)] yang dialamatkan kepada pejabat Setiausaha Agung Umno Malaysia membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi Umno dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Menurut Tengku Adnan, dakwaan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu itu telah menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi walaupun ia tidak sepatutnya berlaku.
 
Katanya, ahli-ahli Umno adalah disarankan untuk terus kekal komited, fokus dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Umno pada PRU14.
 
 

Tiada ulasan: