DR WONG CHIN HUAT
adalah strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di
Penang Institute, sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan
DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Kepakaran Dr Wong Chin Huat adalah dalam
bidang pilihan raya di mana tesis PhD beliau yang diserahkan kepada
University of Essex pada Ogos 2011 adalah bertajuk “The Implications of the Electoral System for Party Competition in West Malaysia, 1982-2004”.
Di dalam tesis PhD beliau ini, Dr Wong
Chin Huat di antara lainnya menyatakan bahawa kemungkinan untuk
pembangkang berkuasa di peringkat Pusat adalah hampir tiada (next to zero) kerana faktor “excessive gerrymandering and mal-apportionment of constituencies”.
Semalam Dr Wong Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya Tsunami Melayu (doubtful of a Malay Tsunami) dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya Tsunami Melayu (there hasn’t been any conclusive evidence of a Malay Tsunami).
Kata Dr Wong Chin Huat, dengan
persempadanan semula yang meningkatkan bilangan kerusi majoriti Melayu
dan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan campuran, hanya pengundi
bukan Melayu sahaja yang boleh mengekalkan kedudukan Pakatan Harapan
(PH).
Kata Dr Wong Chin Huat lagi, berdasarkan
hasil persempadanan semula dan ketidakpastian Tsunami Melayu ini,
jangkaan selamat boleh dibuat bahawa PH tidak mempunyai peluang langsung
untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.
Lebih menarik lagi ialah jangkaan Dr
Wong Chin Huat bahawa, selepas kalah, parti-parti di dalam PH akan
menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan PAN
akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS.
Paling menarik sekali ialah jangkaan Dr
Wong Chin Huat bahawa tindakan DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada
tahun 1995, meninggalkan Barisan Alternatif pada tahun 2001 dan
meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akan berulang lagi selepas
ini.
Kata Dr Wong Chin Huat, sama seperti
alasan yang ia gunakan sewaktu meninggalkan Gagasan Rakyat, Barisan
Alternatif dan Pakatan Rakyat, “DAP mungkin akan terpaksa meninggalkan
pakatan pembangkang bagi menjaga tapak sekular dan bukan Islamnya”.
Sesatunya perkara yang menggembirakan Dr
Wong Chin Huat ialah kerana tindakan SPR memilih hari pengundian pada
hari bekerja, iaitu hari Rabu, yang kononnya merupakan pengakuan
tersirat Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai adanya Tsunami Melayu.
Sungguh melucukan bila saintis politik
seperti Dr Wong Chin Huat boleh menyatakan beliau menolak dapatan kaji
selidik yang dibuat oleh semua pusat kaji selidik mengenai tiadanya
Tsunami Melayu semata-mata kerana pemilihan hari Rabu sebagai hari
pengundian.
Logik yang Dr Wong Chin Huat gunakan
ialah bila hari Rabu dipilih sebagai hari pengundian maka Datuk Seri
Najib Abdul Razak mahu menghalang pengundi Melayu dari keluar mengundi
menyebabkan kebimbangan mengenai Tsunami Melayu akan hilang.
Logik ini, bagi saya, adalah logik yang
cukup bodoh sekali, apatah lagi bila selepas tulisan Dr Wong Chin Huat
ini dikeluarkan kerajaan telah mengumumkan hari pengundian adalah hari
cuti bagi memudahkan semua pengundi, termasuk pengundi Melayu, keluar
mengundi.
Inilah rahmat dari pemilihan hari Rabu
sebagai hari pengundian, ia secara tiba-tiba membuatkan strategis
terkemuka DAP sendiri mengakui Tun Dr Mahathir gagal bawa Tsunami
Melayu, PH akan kalah dan DAP akan tinggalkan PH. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan